Siaran Akhbar

Mungkin Malaysia tiada pakar dalam bidang profesional, kalau perkara ini berterusan

Apr 3, 2023

Kementerian Dalam Negeri melalui jawapan bertulis kepada soalan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, memberitahu bahawa sebanyak 85,893 orang telah melepaskan kewarganegaraan Malaysia dari 2013 hingga Februari 2023. Daripada jumlah tersebut sebanyak 91% memilih Singapura sebagai rumah baru mereka.

Senator Datuk Dr. Dominic Lau dalam kenyataannya pagi yang menyentuh kepada jawapan menteri, meminta kerajaan agar meneliti isu pelepasan kewarganegaraan ini secara komprehensif, dan perlu memperlihatkan inisiatif menanganinya.

“Isu pelepasan kewarganegaraan ini juga bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam pasaran domestik, terutamanya sektor profesional dan teknikal. Isu ini melibatkan penghijrahan modal insan ke luar negara”, ujar beliau.

Ahli Dewan Negara itu berkata bahawa “kalau kita terus lepaskan mereka, tiada tindakan, tiada tawaran, maka satu hari nanti, kita mungkin tiada pakar dalam bidang-bidang profesional, dan bergantung kepada tenaga mahir luar.”

Dr. Dominic Lau yang juga merupakan Presiden GERAKAN menyeru Kementerian Sumber Manusia agar lebih peka kepada isu ini. Difahamkan sebanyak 60% daripada yang melepaskan kewarganegaraan adalah belia berumur 40 tahun dan ke bawah, statistik ini amat merisaukan. Dr. Dominic Lau juga berkata bahawa kementerian ini tidak dalam sebarang pendekatan memperlihatkan kesungguhan dalam menangani isu ‘brain drain’, dan menterinya seolah-olah belum faham akan keseriusan migrasi tenaga kerja kita.

YB SENATOR DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN NASIONAL GERAKAN