Siaran Akhbar

Panggil Lebih Ramai Pesara Kakitangan Kesihatan Yang Boleh Khidmat, Bantu KKM

Jul 15, 2021

Parti Gerakan Rakyat Malaysia mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memanggil lebih ramai lagi kakitangan kesihatan yang sudah bersara untuk kembali berkhidmat sehingga Malaysia dapat menangani COVID-19.

Presiden Nasional Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, panggilan kakitangan kesihatan seperti jururawat, pegawai perubatan atau doktor yang bersara itu dapat memantapkan lagi jentera barisan hadapan melawan COVID-19.

“Mereka ini senior dan berpengalaman dalam urusan perubatan dan kesihatan. Ia dapat membantu meringankan beban petugas barisan hadapan yang ada sekarang.

“Sudah hampir 2 tahun petugas barisan hadapan bertungkus lumus dan pelbagai cabaran mereka sudah tempuhi demi memastikan rantaian COVID-19 terputus,” katanya pada sidang media Program Helping Hand Kepada Penduduk PPR hari ini.

Parti GERAKAN hari ini telah mengagihkan makanan, minuman sihat, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada 200 penduduk yang tinggal di PPR Taman Beringin.

Sebelum ini, GERAKAN juga telah mengadakan Helping Hand Gelandangan 1.0 dan 2.0 di Bangkok Bank dan Chow Kit, Kuala Lumpur.

GERAKAN berharap bantuan ini dapat meringankan beban serta dapat mengurangkan tekanan mereka. Tidak lupa juga GERAKAN ingin mengucapkan penghargaan kepada penaja-penaja sumbangan hari ini,

Selain itu, GERAKAN mengingatkan kepada orang ramai yang beratur untuk mendapatkan vaksin jagalah jarak masing-masing ketika berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Seperti PPV di Shah Alam yang viral sebelum ini, suasana persekitaran begitu sesak dengan kehadiran orang ramai daripada pelbagai peringkat umur termasuk bayi, kanak-kanak dan warga emas.

“Saya bimbang, sekiranya mereka tidak ada berdisiplin, PPV berisiko untuk menjadi kluster COVID-19 yang baru atau zon merah”

“Jadi demi kesejahteraan semua, GERAKAN bersiap sedia untuk menyediakan lokasi secara PERCUMA kepada kerajaaan untuk dijadikan PPV” katanya.

Datuk Dr.Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional Parti GERAKAN