Berita Gerakan

Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin perkukuh kerjasama dalam PN

Jul 10, 2021

KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri akan memperkukuhkan lagi kerjasama parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Ia dinyatakan sekumpulan Ketua-ketua Penerangan mewakili parti PN menerusi kenyataan bersama hari ini, yang turut menzahirkan keyakinan terhadap berpengalaman dan berkebolehan kedua-dua pemimpin berkenaan membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam urusan pentadbiran negara.

“Kami mendoakan pelantikan ini memperkukuhkan lagi kerjasama erat sedia ada antara parti dalam kerajaan, dalam kerangka kita sebagai kerajaan telus, bebas rasuah dan berintegriti,” berdasarkan kenyataan itu.

Kumpulan ketua penerangan itu terdiri daripada Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, Kamaruzaman Mohamad (PAS), Chin Vui Kai (Parti Maju Sabah – SAPP), Jeffrey Kumin (Parti Solidariti Tanah Airku – STAR).

Ia termasuk Koo Shiaw Lee (GERAKAN), Datuk V Gunalan (MIC) dan Chan Quin Er (MCA), Khairin Bador (Parti Bersatu Rakyat Sabah – PBRS), Yong Li Na (Parti Demokratik Progresif – PDP), Datuk Julita Majungki (Parti Bersatu Sabah – PBS).

Selain itu, Datuk Idris Buang (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu – PBB), Datuk Wilfred Nissom (Parti Rakyat Sarawak) dan Adam Yii (Parti Rakyat Bersatu Sarawak – SUPP).

Rabu lalu, Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan manakala Hishammuddin dilantik sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio sebagai Menteri Luar.

Pelantikan dibuat Muhyiddin itu diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Selain itu, kumpulan ketua penerangan parti itu juga menghargai kesediaan kerajaan yang mengambil kira pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai keperluan persidangan Parlimen.

“Kami juga mengalu-alukan pengumuman kerajaan yang semua proklamasi darurat dan ordinan serta butiran mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN), akan dibentangkan (pada persidangan Parlimen).

“Kami berharap sidang parlimen khas ini dijadikan medan membincangkan kepentingan rakyat dengan sepenuhnya, dan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi,” kata kenyataan itu. – BERNAMA