Berita Gerakan

Pemuda Gerakan lulus tujuh resolusi

Mac 13, 2021

KUALA LUMPUR, 12 Mac  — Pergerakan Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) hari ini meluluskan tujuh resolusi yang meliputi isu berkaitan vaksinasi, pengangguran dan kebolehpasaran kerja, pada Persidangan Perwakilan Pemuda Nasional Parti Gerakan ke-33, malam ini.

Salah satu resolusi itu merujuk kepada meningkatkan kesedaran vaksinasi dalam kalangan belia dalam negara, untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Pemuda Gerakan juga bertekd untuk menyertai, dan turut serta memupuk minat orang ramai mendaftar dengan program itu, di samping meningkatkan kesedaran berhubung berita palsu serta vaksinasi palsu yang dipaparkan di internet, serta mendidik generasi muda supaya tidak menjadi mangsa penipuan mengenainya, kerana vaksin yang disediakan kerajaan adalah percuma.

Perwakilan turut menggesa kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif serta perkongsian awam-swasta yang lebih baik dalam menangani isu pengangguran belia yang berpunca daripada penularan pandemik COVID-19.

Selain itu mereka turut bersetuju untuk menggalakkan inovasi dan keusahawanan dalam mengembleng kekuatan golongan belia secara lebih produktif.

Persidangan malam ini berlangsung secara maya.

— BERNAMA