Siaran Akhbar

Perkasakan kawalan pemulangan pelajar ke kampung halaman

Apr 27, 2020

Sedikit kelonggaran yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri, untuk membenarkan pelajar di kampus pulang ke kampung halaman minggu lalu sangat dialu-alukan. Semua penuntut pengajian tinggi yang terperangkap lebih 41 hari di kampus kerana PKP semestinya tidak sabar pulang ke pangkuan keluarga.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyarankan langkah kawalan dan pemantauan perlu diperkasakan. Contohnya seperti mewujudkan taklimat amalan pencegahan pandemik dalam kalangan pelajar sebelum dibenarkan pulang. Lakukan jua saringan kesihatan terhadap pelajar-pelajar dan petugas Kementerian Pengajian Tinggi yang akan menghantar mereka pulang ke destinasi demi mengelakkan pertambahan kluster secara tidak sengaja.

Proses penghantaran pulang yang bermula 27 April ini perlu diatur dengan rapi. Pelajar dan petugas IPT perlu mengamalkan pemakaian topeng muka, sanitizer dan penjarakan sosial. Elakkan berlakunya kesesakan dan himpunan berkumpulan tanpa sengaja di kampus mahupun tempat pengasingan zon.

Manakala pelajar lain yang masih belum dibenarkan pulang dan dihantar ke rumah saudara-mara terdekat juga perlu kekal bersabar. Mereka tetap perlu mengamalkan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri dalam usaha memerangi epidemik ini.

Gerakan percaya bahawa pengamalan langkah pencegahan yang berkesan dapat mengurangkan risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar yang akan pulang kampung. Oleh itu, teruskan mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan diri dan kesihatan tubuh badan dalam menjayakan usaha kerajaan menghantar pulang pelajar ke kampung halaman masing-masing.