Siaran Akhbar

Perutusan Tahun Baharu Cina 2021

Feb 11, 2021

Mewakili Parti Gerakan Rakyat Malaysia, saya ingin mengucapkan Selamat menyambut Tahun Baharu Cina dan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya buat masyarakat Cina.

Tidak dapat dinafikan bahawa Tahun Baharu Cina ini adalah agak luar biasa kerana ketika ini negara kita sedang berusaha untuk mencegah penularan wabak COVID-19. Orang ramai, terutama masyarakat berketurunan Cina tidak dapat meraikan sambutan perayaan seperti biasa dan aktiviti-aktiviti seperti balik kampung, berjumpa dengan kawan serta persembahan tarian singa juga tidak dapat dilaksanakan.

Tahun Baharu Cina adalah perayaan tradisional yang telah berlangsung selama beribu-ribu tahun. Balik kampung untuk meraikan perayaan ini adalah budaya orang Cina di seluruh Malaysia. Namun, akibat peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang ketara sejak kebelakangan ini, pihak kerajaan telah melanjutkan PKP sehingga 18 Februari. Oleh itu, semua rakyat harus meraikan Tahun Baharu Cina ini dalam norma baru, kerana tiada yang lebih berharga berbanding nyawa kita semua.

Saya juga berharap agar anda dapat meraikan Tahun Baharu Cina dengan keluarga anda di rumah masing-masing tetapi janganlah lupa akan kakitangan barisan depan, termasuklah anggota polis, anggota ATM, kakitangan perubatan, penghantar makanan dan sebagainya. Mereka telah bertungkus-lumus tanpa mengenal penat lelah dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19. Selain itu, mereka juga telah mengorbankan masa untuk bersama keluarga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kita terus terjamin ketika saat genting ini. Kami ingin mengucapkan terima kasih atas dedikasi dan komitment mereka.

Mengikut Zodiak Cina, tahun ini adalah tahun Lembu Logam. Dalam budaya Cina, lembu melambangkan banyak sifat positif seperti bertanggungjawab, jujur, rajin, praktikal, sabar, berkuasa dan berani, malah dalam budaya negara barat, lembu juga melambangkan kekayaan. Oleh itu, saya berharap kedatangan Tahun Lembu ini dapat memberikan kekuatan dan ketekunan kepada rakyat Malaysia agar kita dapat mengharungi cabaran pandemik COVID-19 bersama-sama.

Akhirnya, sekali lagi saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia