Siaran Akhbar

PKP wajar dilanjutkan

Apr 3, 2020

Jumlah peningkatan kes wabak Covid-19 dunia kini telah mencecah angka sejuta. Ribuan nyawa menjadi taruhan kerana peningkatan yang mendadak sejak beberapa hari ini. Manakala petugas barisan hadapan seperti doktor, anggota keselamatan dan sebagainya semakin penat dan tertekan dalam mengurus jumlah pesakit yang tidak surut biarpun sudah memasuki fasa kedua PKP.

Biarpun begitu, jumlah pesakit yang pulih dan berjaya dirawat dalam negara menunjukkan potensi negara kita berjaya mengawal penyebaran Covid-19 dalam kalangan pesakit. Oleh itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia percaya kegigihan petugas barisan hadapan mencegah penularannya akan beroleh kejayaan.

Sehingga semalam seramai 1449 tertuduh yang ingkar arahan PKP telah dijatuhkan hukuman dan didenda di mahkamah. Manakala lebih 4 ribu lagi individu telah ditahan untuk tindakan lanjut. Parti Gerakan Rakyat Malaysia bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas dalam tempoh PKP demi mengurangkan penyebaran wabak. Malah praktisan khidmat masyarakat yang diputuskan mahkamah akan memberi pengajaran kepada pesalah.

Selain itu, sekiranya negara gagal mengawal pandemik ini sehingga 14 April 2020, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga hujung bulan April. Manakala pengendalian bazaar ramadan dibatalkan demi mengelakkan penularan jangkitan wabak.

Di samping itu, sistem pembelajaran pelajar perlu dilaksanakan secara atas talian bagi mengisi masa senggang pelajar selama tempoh PKP. Kaedah ini perlu diperluaskan untuk mengelakkan mereka daripada ketinggalan dalam pelajaran kerana mereka juga bakal menghadapi peperiksaan seperti UPSR, SPM, STPM dan sebagainya. Mereka perlu isi masa terluang ini dengan pembelajaran atas talian seperti yang dipraktikkan oleh institusi pengajian tinggi terhadap mahasiswa.

Kementerian Pendidikan harus melaksanakan sistem ini secara totalis bagi memudahkan kaedah pembelajaran menjadi lebih sistematik sekiranya tempoh PKP dilanjutkan.

Sehubungan itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan saranannya untuk mengurangkan beban para ibubapa di mana anak mereka yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi pada tahun 2020 diberikan pelan pembelajaran komprehensif seperti diskaun, penangguhan, pembekuan dan ansuran mudah tanpa faedah kepada mereka.