Berita Gerakan

PN Melaka sedia berunding dengan UMNO, elak pertembungan tiga penjuru

Okt 5, 2021

MELAKA, 5 Okt  — Perikatan Nasional (PN) Melaka sedia berunding dengan UMNO negeri ini bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata Bersatu bersama PAS dan Gerakan, telah membuat pendirian untuk tidak akan berlaku pertembungan dalam merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita terbuka menerima sekiranya UMNO Melaka ingin berunding dengan PN Melaka untuk mengelakkan tiga penjuru dan jika UMNO bersedia kita akan fikir perkara selanjutnya.

“Selagi kita belum dapat keputusan UMNO, kita tidak akan memperincikannya dan itu terlalu jauh (pembahagian kerusi) dan kita menanti keputusan UMNO biar mereka tentukan,” katanya pada sidang akhbar di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Melaka Datuk Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Gerakan Melaka Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Sementara itu, Mohd Rafiq yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkata keanggotaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Datuk Noor Effandi Ahmad tergugur secara automatik selepas tindakannya menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini dilaporkan berkata DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt, bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Sulaiman semalam.

Ia susulan empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

— BERNAMA