Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

PRN Melaka: Gerakan pecat ahli cuba sabotaj calon – Dominic Lau

Okt 19, 2021

MELAKA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bertegas memecat ahli parti itu yang dikesan cuba mensabotaj calon dalam mana-mana parti komponen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November ini.

Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata ia selaras dengan komitmen parti itu dalam memastikan calon yang dipertaruhkan pada PRN nanti, menang dengan majoriti besar.

“Selari dengan kesungguhan dan komitmen parti untuk memastikan PN menang pada pilihan raya nanti, Gerakan telah menubuhkan jentera yang akan diketuai oleh Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

“Maka Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) juga telah membuat keputusan jika ada ahli parti sabotaj mana-mana calon, tindakan pecat serta merta akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas CWC di Melaka Raya hari ini.

Mengulas soal jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi memandangkan parti itu tidak mempunyai kerusi di Melaka ketika ini, ujarnya perkara berkenaan hanya akan diputuskan pucuk pimpinan.

“Bagi parti Gerakan jika kita dapat kerusi atau kawasan untuk bertanding, kita akan pastikan (jentera) ‘all out’ termasuk memastikan semua pengundi untuk mendapatkan sokongan.

“Memang sebagai parti politik semasa mengambil bahagian (bertanding), kita akan pastikan parti bersama gabungan PN akan berjaya dan menang dalam PRN Melaka.

“Soal berapa banyak kerusi akan ditandingi belum dimuktamadkan lagi dan hanya akan diumumkan oleh pucuk pimpinan PN pada masa yang tepat ,” tambahnya.