Berita Gerakan

PRN Melaka: Skandal pasir diberi keutamaan jika PN menang, kata Muhyiddin

Nov 20, 2021

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mengarahkan Ketua Menteri Melaka yang baharu Mas Ermieyati Samsudin supaya menjadikan isu skandal pasir di negeri itu sebagai tugas utama untuk diselesaikan jika gabungan itu berjaya mentadbir Melaka.

Katanya, ini termasuk menamatkan pemberian projek kepada syarikat konsesi yang bermasalah sehingga menyusahkan rakyat Melaka.

“Kita dengar di Melaka apa isu masalah besar ialah pasir, jadi saya turun ke Melaka semua orang cakap pasal isu pasir ini satu perkara serius agaknya.

“… Bilamana kita dipilih memimpin kerajaan di Melaka antara tugas utama Ketua Menteri Melaka wanita yang kita calonkan mestilah melihat semula kenapa khazanah penting di Melaka seperti tanah, pasir ke, logam ke, jadi sebegini rupa…disalah guna sehingga menjadi skandal terbesar di Melaka.

“Jadi kita minta kaji balik, kalau konsesi diberi kepada pihak tak bertanggungjawab, tindakan untuk tamatkan konsesi itu supaya rakyat Melaka dapat balik hak mereka di masa akan datang,” katanya semasa Ceramah Perikatan Nasional (PN) Melaka Bangkit Gemilang malam ini secara atas talian.

Muhyiddin berkata isu skandal pasir di Melaka itu hanya salah satu contoh malah beliau dapati banyak lagi isu lain berlaku termasuk soal pemberian tanah.

Selain itu, katanya, dalam PRN Melaka hanya calon PN berani melafazkan ikrar tolak rasuah. Sehubungan itu beliau berharap pengundi di Melaka menyokong calon dari gabungan itu untuk memastikan pentadbiran negeri stabil.

Beliau juga yakin PN mampu membuat kejutan esok apabila rakyat Melaka mula menunjukan sokongan luar biasa kepada parti itu.

Calon KM wanita tak bercanggah hukum Islam

Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menjelaskan sebelum PN memuktamadkan calon Ketua Menteri wanita pihaknya telah meminta pandangan dari PAS dan ia direstui parti Islam itu.

“Kita buat keputusan meletakkan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri. Sebelum calonkan beliau, kita telah minta fatwa serta pandangan Tok Guru (Abdul Hadi), mungkin beliau juga rujuk tokoh-tokoh ulama lain apakah ini ada halangan tentang soal hukum.

“Tok Guru kata tak jadi apa-apa masalah, jadi untuk jadikan calon wanita sebagai Ketua Menteri bukan satu yang bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.

Hadir sama dalam ceramah tersebut ialah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Dominic Lau serta pucuk pimpinan PN.