Siaran Akhbar

Program Kasih Kenyang Capai Sasaran Dalam Masa 12 Hari

Jun 19, 2021

Program Kasih Kenyang yang dianjurkan oleh Parti GERAKAN telah mencapai sasaran dan permohonan akan ditutup pada 12.00 malam ini.

Presiden Nasional Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, program yang dilancarkan sejak 7 Jun itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat.

“Dalam tempoh dua belas hari kami sudah mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Oleh itu, kami akan mula membuat pengedaran sumbangan kepada pemohon secara serentak bermula Isnin ini,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat GERAKAN hari ini.

Sumbangan akan bermula dari Perlis sehingga Johor, Kelantan, Terengganu serta termasuk Sabah dan Sarawak.

Untuk makluman, tema ideologi Parti GERAKAN bagi bulan ini adalah ‘Hapuskan Wang Politik’.

Wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Bahagian Pendidikan Masyarakat yang dijemput pada mesyuarat kali ini, mengatakan Parti GERAKAN adalah parti politik yang pertama menjemput SPRM bagi memupuk integriti politik di kalangan masyarakat.

AJK Pusat Parti GERAKAN juga mendapatkan konsensus dalam menubuhkan Biro Integriti supaya kerja pencegahan rasuah di kalangan parti GERAKAN dan juga masyarakat.

Dalam perkembangan lain, GERAKAN merakamkan penghargaan kepada China dan Jepun kerana menyumbang vaksin kepada Kerajaan Malaysia.

Jumlah 500,000 dos vaksin yang disumbangkan oleh negara China amat membantu Malaysia dalam melancarkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Sementera itu, Dominic Lau mengulas mengenai isu sidang parlimen yang akan dibuka semula pada sekitar September atau Oktober.

“Sekiranya mereka membawa agenda politik masing-masing, perbuatan itu adalah sia-sia.

“Lagi baik tak ada persidangan sekiranya perkara itu benar-benar terjadi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dominic Lau berharap rakyat memantau prestasi ahli-ahli Parlimen dan menilai untuk pilihan raya akan datang.

DATUK DR. DOMINIC LAU HOE CHAI
PRESIDEN NASIONAL PARTI GERAKAN
19 JUN 2021