Siaran Akhbar

Puji tindakan mahkamah tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak

Dis 9, 2021

Keputusan mengekalkan hukuman denda dan hukuman penjara ke atas Najib Razak semalam membuktikan mahkamah Malaysia bebas daripada dipegang oleh mana-mana parti politik.

Menurut, Setiausaha Agung GERAKAN,Mak Kah Keong tindakan tersebut harus dipuji kerana tidak mengira sesiapa pun pesalah mereka menjatuhkan hukuman yang tepat dan setimpal.

“Memang menjadi perjuangan parti GERAKAN sendiri untuk mana-mana badan kehakiman ataupun penguatkuasa tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

“Jangan pilih ‘bulu’ pesalah mesti dihukum. Malah saya rasa ini satu perkara yang bakal menjadi perbualan seantara dunia kerana badan kehakiman dan mahkamah kita telus dalam menjalanan tugas,”ujarnya yang juga seorang peguam dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi saya, ini juga antara mesej yang baik dan patut ditunjukkan kepada masyarakat daripada dahulu lagi tidak kira pangkat,darjat atau kedudukan sekiranya melakukan kesalahan hukuman wajar diberikan sama rata.

Semalam, tiga hakim dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Bagaimanapun hukuman penjara dan denda terhadap Najib ditangguhkan sementara kes dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Setiausaha Agung GERAKAN
Mak Kah Keong