Berita Gerakan

PVIP Malaysia: Kerajaan Kena Waspada Elak Bahayakan Keselamatan Negara

Sep 8, 2022

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu berwaspada apabila membawa masuk pelaburan dalam kalangan hartawan global menerusi Program Visa Premium (PVIP) Malaysia, bagi mengelakkan negara menjadi ‘sarang’ aktiviti jenayah antarabangsa.

Menurut Naib Presiden GERAKAN, Baljit Singh, terdapat ramai ahli perniagaan terbabit yang tidak memberikan impak baik.

“Kami menemui cukup banyak taikun global dan didakwa kaya untuk membuat pelaburan dalam negara, tetapi akhirnya mereka hanya memalukan negara sendiri sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, persoalan yang timbul kini adakah Malaysia sudah mengambil semua langkah keselamatan bagi memastikan negara tidak dicap sebagai lokasi untuk ‘orang luar’ melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab.

“Adakah kita sudah mempunyai semua langkah untuk memastikan Malaysia tidak dijadikan sebagai pilihan untuk aktiviti tidak bertanggungjawab, termasuk pengubahan wang haram?” soalnya.

Baljit berkata, pelaksanaan PVIP Malaysia tidak perlu tergesa-gesa menjelang 1 Oktober, bukan sahaja bagi memastikan ia mampu memelihara semua kepentingan dan keselamatan rakyat negara ini, malah diteliti sebaik mungkin.

Jelasnya, penelitian itu penting bagi mengelakkan mereka yang mempunyai reputasi dipersoalkan semula.

PVIP Malaysia diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini, bagi menarik minat hartawan global menetap di negara ini dan membuat pelaburan.

Ia terbuka kepada semua peringkat usia dan warganegara, kecuali Israel atau negara tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia serta boleh dimohon bermula 1 Oktober ini.

Kerajaan menyasarkan seramai 1,000 peserta mendaftar dalam tahun pertama pelaksanaannya dengan anggaran hasil kepada negara sebanyak RM200 juta, selain simpanan tetap RM1 bilion.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, pihaknya menerima 20,000 permohonan menerusi ejen dalam tempoh 24 jam pelancaran fasa pertama PVIP Malaysia, Khamis lalu.

Bagi fasa itu, katanya, kerajaan menetapkan tidak melebihi 25,000 permohonan.

Tambahnya, Kabinet sebelum ini bersetuju pemohon perlu membayar yuran penyertaan RM20,000 sekali sahaja, malah RM100,000 sekali sahaja turut akan dikenakan untuk setiap tanggungan. – Getaran, 8 September 2022

不降油价 反削减补贴 希盟违诺失信于民

不降油价 反削减补贴 希盟违诺失信于民

(槟城18日讯)民政党全国署理主席胡栋强抨击首相安华,于2022年大选时高喊上台即降油价,如今人民苦等了1年半,却等不到安华兑现承诺降低油价,反而却等来了政府削减汽油补贴,让油价上涨,希盟失信于人民,安华亏欠人民一个道歉!

baca lagi