Berita Gerakan

Rondaan kerap, tambah CCTV elak kes terjun berulang atas Jambatan P. Pinang

Mei 26, 2022

GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri mencadangkan pihak berkuasa melakukan rondaan lebih kerap di Jambatan Pulau Pinang sebagai antara langkah menangani kes terjun di situ yang semakin kerap berlaku.

Selain itu, Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih banyak di atas jambatan juga dilihat berupaya memantau sekali gus  tindakan sewajarnya dapat diambil dengan segera terhadap insiden yang berlaku.

Katanya, usaha pencegahan kes cubaan terjun dari jambatan itu perlu ditangani secara bersama oleh polis,  Jabatan Kerja Raya (JKR) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

“Mengikut laporan, sebanyak lima kes bunuh diri di jambatan dalam tempoh dua minggu yang lalu. Angka ini amat mengejutkan dan menyedihkan. Oleh itu, saya berpendapat pihak berkuasa yang berkaitan harus mengambil berat terhadap isu bunuh diri di jambatan dan mencari cara penyelesaiannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pihaknya mencadangkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow supaya meneliti punca sebenar kes bunuh diri yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Adakah ini disebabkan tekanan hidup yang besar akibat kenaikan kos sara hidup atau disebabkan isu emosi? Diharap semua di antara kita janganlah mudah berputus asa apabila menghadapi keperitan dalam kehidupan.

“Cuba dapatkan bantuan daripada kawan ataupun kaunselor profesional bagi mengelakkan diri terus terjerumus dalam emosi yang negatif,” jelasnya.

Semalam, akhbar ini melaporkan sebanyak lapan kes terjun dari Jambatan Pulau Pinang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang sepanjang bulan ini dengan kekerapan dua hingga tiga panggilan kecemasan diterima setiap minggu.

Pengarahnya, Saadon Mokhtar berkata, jambatan itu merekodkan kes bunuh diri paling banyak bulan ini berbanding hanya empat kes dalam tempoh sama pada tahun lalu. – UTUSAN