Berita Gerakan

Rundingan aman, tolak ansur kunci pembahagian kerusi PN lancar

Feb 23, 2022

JOHOR BAHRU: Semangat tolak ansur dan mengadakan rundingan secara aman menjadi kunci pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) berjalan lancar.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, setiap parti komponen telah menghantar nama calon dan pemimpin setiap parti mengadakan perbincangan bagi memilih calon yang benar-benar layak.

Beliau berkata, rundingan demi rundingan dilakukan bagi memilih calon berkelayakan dan berpotensi tinggi untuk memenangkan PN di sesuatu kerusi.

“Semangat tolak ansur semasa mengadakan rundingan menjadi teras pembahagian kerusi dapat dilakukan dalam suasana harmoni. Jika ada pertindihan kerusi, kita membuat penilaian agar calon itu mampu memenangkan PN.

“Kita menilai calon itu dari segi kemampuan dirinya serta kekuatan individu dan kelebihan yang dimiliki mereka selain membandingkan dengan peluang calon parti komponen lain.

“Kita tidak boleh mendedahkan terlebih dahulu berapa kerusi yang akan ditandingi oleh calon Gerakan, kita menunggu Pengerusi gabungan (PN) untuk membuat pengumuman,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Gerakan, di sini.

Dominic berkata, Gerakan telah memaklumkan kepada pimpinan tertinggi PN tentang kerusi yang ingin ditandingi pada PRN Johor pada 12 Mac ini.

Katanya, beliau berharap permintaan Gerakan itu dapat dipenuhi apabila pengumuman calon dibuat dalam masa terdekat sebelum hari penamaan calon pada Sabtu ini.

“Apa yang penting calon yang diletakkan mampu memberi kemenangan pada PRN Johor. Siapapun calon yang diletakkan, kita akan menghantar jentera parti untuk memastikan kemenangan kepada PN,” ujarnya.

Tambahnya, setiap calon parti Gerakan akan turut sama menandatangani akujanji bahawa mereka tidak akan melompat parti selepas mandat diberikan sebagai menjadi wakil rakyat.UTUSAN