Berita Gerakan

Saman cabar sekolah vernakular: Mahkamah tetap permohonan mencelah 16 Jan

Jan 2, 2020

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 16 Januari untuk mana-mana pihak yang ingin mencelah saman yang difailkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mencabar penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Peguamnya, Shaharudin Ali memaklum perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nor Aqilah Abdul Halim, hari ini.

“Sekarang ini (pengurusan kes) hanya berkenaan pemfailan permohonan mencelah dan afidavit yang masih perlu difailkan anak guam (Khairul Azam),” katanya.

Katanya lagi, Mahkamah Tinggi turut menetapkan 29 Januari untuk bantahan terhadap permohonan pencelahan tersebut, dan semua permohonan akan didengar pada 12 Februari.

Pada 23 Oktober lalu, Khairul Azam yang juga naib presiden Parti Bumiputera Pesaka Malaysia (Putra) memfailkan notis usul untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan perlembagaan.

Dalam notis usul itu, beliau antara lain berkata Parlimen tiada kuasa untuk mewartakan Seksyen 17 dan Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996.

Seksyen 17 berkenaan bahawa pengantar di sekolah jenis kebangsaan, manakala Seksyen 28 berkenaan penubuhan dan penyenggaraan sekolah itu.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan menolak kebenaran cabaran itu. Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed dalam penghakimannya memutuskan bahawa parlimen mempunyai bidang kuasa untuk mengubal undang-undang mengenai pendidikan.

Beliau juga berkata Mahkamah Tinggi, dan bukannya Mahkamah Persekutuan, adalah plantform untuk mendengar isu perlembagaan seperti itu.

Maka pada 17 Disember lalu, Khairul Azam memfailkan saman untuk mencabar penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di SJK di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan menamakan Menteri Pendidikan Malaysia dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Beliau antara lain memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 tidak konsisten dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Gerakan, persatuan Bahasa Cina akan mohon jadi pencelah

Setiausaha Agung Parti Gerakan Mak Kah Keong ketika ditemui di mahkamah berkata pihaknya akan membuat permohonan untuk menjadi pencelah kes itu dalam minggu ini.

“Hari ini saya diarahkan presiden untuk hadir dan lihat perkembangan kes ini dan kita akan mohon sebagai pencelah. Pendirian Gerakan jelas, kita akan berusaha untuk mengekalkan pendidikan Cina (SJKC),” katanya ketika.

Turut hadir bersamanya ialah Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia Eddie Heng yang memaklumkan akan turut memohon untuk menjadi pencelah.

“Pendidikan Cina sudah berada dalam sejarah lebih 200 tahun dan dilindungi akta di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Saya tidak melihat asas sebab plaintif (Khairul Azam) dalam mencabar kesahihan sekolah vernakular ini,” katanya.

Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.

Seksyen 17(2) pula menyatakan jika bahasa pengantar utama di sesuatu institusi pendidikan adalah selain daripada bahasa kebangsaan, maka bahasa kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di institusi pendidikan itu.

Seksyen 28 pula berkenaan penubuhan dan penyenggaraan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Ia menyatakan, “tertakluk kepada peruntukan akta ini, menteri boleh menubuhkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dan hendaklah menyenggarakan sekolah-sekolah itu.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula berkenaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan merupakan tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang dalam Parlimen.

Seterusnya, Perkara 152 (1)(a) menyatakan tiada siapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain. Perkara 152(1) (b) pula berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri boleh meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam persekutuan.