Berita Gerakan

Sedia langkah alternatif untuk projek LRT Pulau Pinang

Nov 29, 2020

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat disarankan menyediakan langkah alternatif untuk membantu kerajaan negeri melaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) setelah memutuskan tidak memberi jaminan kepada permohonan pinjaman bagi projek berkenaan.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) negeri, Oh Tong Keong berkata, projek berkenaan adalah untuk kepentingan rakyat negeri ini secara jangka masa panjang dan kepentingan rakyat seharusnya membatasi pendirian politik.

“Walaupun Gerakan adalah parti pembangkang di negeri ini, namun kita tidak akan sekadar membantah rancangan pembangunan kerajaan negeri.

“Dalam isu ini, Kerajaan Pusat harus mengutamakan rakyat dan bantuan wajar diberikan bagi memastikan projek ini berjalan lancar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kerajaan Pusat baru-baru ini memutuskan untuk membatalkan pinjaman RM2.4 bilion dengan sebuah bank serantau, yang perlu dijaminnya bagi membiayai projek LRT Pulau Pinang.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sekiranya perkara itu diteruskan kerajaan akan menanggung beban fiskal yang akan mempengaruhi usaha untuk memulihkan ekonomi yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

Menurut Tong Keong, ketika Gerakan mentadbir negeri ini, pemimpin parti berkenaan telah merangka pelan induk pengangkutan negeri yang turut melibatkan projek LRT serta Lebuhraya Lingkaran Luar.

Tambahnya, walaupun Gerakan pernah menggesa kerajaan negeri memberi penjelasan dalam beberapa perkara bagi projek LRT itu, namun perkara itu dibuat untuk kebajikan rakyat.

“Kami berperanan sebagai pemantau untuk memastikan kerajaan negeri tidak melupakan soal kepentingan rakyat dan mengamalkan prinsip integriti ketika melaksanakan projek pembangunan mega ini,” katanya.