Berita Gerakan

Segera selamatkan ‘hamba abdi’ rakyat Malaysia di Kemboja

Apr 8, 2022

PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung kes rakyat Malaysia yang menjadi tawanan dan ‘hamba abdi’ di luar negara khususnya di Kemboja.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, kes itu amat serius kerana melibatkan ramai rakyat Malaysia khususnya golongan belia yang menjadi mangsa selepas mereka ditipu terutama untuk mendapatkan pekerjaan.

Jelasnya, kerajaan Pusat juga harus mengambil tanggungjawab menjalankan siasatan dan membantu mangsa-mangsa terbabit dengan segera.

“Kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Kemboja untuk menyelamatkan warganegara kita.

“Yang penting adalah menyelamatkan rakyat kita yang ditawan sindiket penipuan antarabangsa. Kesungguhan kerajaan boleh mengelak rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan dan pihak berkuasa kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Toh Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang mengulas pendedahan menerusi satu sidang akhbar semalam yang mana mangsa sindiket pekerjaan di luar negara itu mengadu mereka dipukul dan didera secara mental serta fizikal sekiranya enggan akur dengan arahan pihak sindiket.

Lebih menakutkan, mangsa wanita juga diugut akan dirogol sekiranya tidak mengikut arahan.

Di samping itu, mangsa juga diarah menjadi ‘keldai scammer’ untuk menipu rakyat Malaysia yang bekerja di Kemboja.