Siaran Akhbar

SKMM tidak adil dan berat sebelah dalam menjalankan tanggungjawab

Jun 5, 2024

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) saban hari dilihat tidak adil dan berat sebelah dalam memainkan peranan sebagai sebuah agensi yang diberi kuasa dalam mengekang salah laku dalam laman internet mahupun sosial media.

Alasan kenapa saya berkata sedemikian, terbaharu hantaran Facebook oleh Shamsher Singh Thind yang merupakan peguam disekat oleh SKMM disebabkan beliau memuat naik kes berkaitan projek tender yang diperolehi oleh suami kepada Menteri DAP.

Peguam tersebut telah mempertahankan bahawa tiada sebarang kekeliruan atau melanggar mana-mana garis panduan komuniti Meta. Namun seperti biasa SKMM tetap mempertahankan tindakan tersebut kerana ia melibatkan kesalahan ataupun isu menteri-menteri Madani.

Oleh sebab itu, saya agak keliru dengan tugas SKMM kerana selalu menjadi sebuah agensi ‘menghilangkan jejak bagai harimau’ untuk menteri-menteri Madani apabila bertindak sebagai hakim kepada kes-kes sebegini.

Saya berpendapat, demi memastikan SKMM bertindak secara adil, agensi itu harus diletakkan di bawah pengawasan yang bebas daripada pengaruh badan eksekutif.

Malah, terdapat risiko yang besar SKMM akan berfungsi sebagai alat pemerintah dan bukan sebagai sebuah agensi yang objektif dan adil.

Dalam pada itu, bagi saya sekiranya insiden sebegini tidak dibendung dari awal ia akan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap bidang kuasa dan integriti SKMM.

Lee Boon Shian
Timbalan Ketua Pemuda
merangkap Ketua Biro Perhubungan Antarabangsa
Parti Gerakan Rakyat Malaysia