Berita Gerakan

‘Sudah-sudahlah bangkitkan isu darurat’

Jan 16, 2021

KUALA LUMPUR: Pimpinan parti pembangkang diharap tidak keterlaluan mempersoalkan mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tetapi sebaiknya memfokuskan urusan kebajikan kawasan masing-masing.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata pihak berkenaan juga diharap tidak keterlaluan mempersoalkan perkenan baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke atas Ordinan Darurat yang berkuat kuasa pada 11 Januari lalu.

“Kerajaan sudah menjelaskan bahawa sesi parlimen ditangguhkan supaya semua ahli parlimen diberi ruang untuk fokus kepada urusan kebajikan kawasan masing-masing.

“Sepatutnya semua pihak menyokong usaha kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat tatkala negara dilanda pandemik dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menempelak tindakan pembangkang dan menyifatkan gelagat pihak berkenaan kurang matang dan sengaja mempolitikkan darurat kesihatan yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Selain itu, beliau mengingatkan pembangkang supaya tidak mengambil mudah kuasa Perlembagaan Persekutuan termasuklah kedudukan Agong.

“Fokus utama sekarang adalah memberi ruang kepada kerajaan dan jenteranya dalam mengawal penularan wabak COVID-19. Angka kes harian yang mencecah empat angka saban hari amatlah merisaukan. Selain itu, jumlah kematian juga dilihat agak tinggi berbanding sebelumnya,” katanya.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat dalam kenyataan rasmi sebelum ini dengan jelas menyatakan sidang parlimen hanya ditunda hingga habis tempoh darurat supaya ahli parlimen tidak perlu merentas negeri dan daerah.