Siaran Akhbar

Syor laksana pelan pemulihan pandemik

Apr 20, 2020

Memandangkan trend pandemik Covid-19 semakin menurun sejak kebelakangan ini, kerajaan perlu mempertimbangkan proses pembersihan secara menyeluruh jika ianya kekal mencatatkan jumlah bawah 50 kes setiap hari.

Tempoh kawalan PKP yang akan berakhir 28 April ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19. Banyak proses perlu dilakukan seperti menyahkuman, steril, sanitasi dan sebagainya untuk melindungi orang ramai daripada dijangkiti.

Proses pencegahan ini perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon semakin pulih, iaitu bermula dengan Zon Hijau dan diikuti dengan zon-zon lain. Fasa ini akan memudahkan proses pemulihan dan pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh di semua lokasi secara tidak langsung.

Sehubungan itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyarankan kepada kerajaan agar mempertimbangkan saringan kesihatan secara percuma selepas tempoh PKP untuk membantu kerajaan memastikan rantaian Covid-19 terus terputus dan tidak berulang.

Di samping itu, kerajaan harus mempergiatkan kempen penjagaan dan pengamalan kesihatan dan kebersihan diri di media massa dan laman sosial untuk mempertingkatkan langkah pencegahan dalam kalangan masyarakat terutamanya warga emas dan kanak-kanak biarpun PKP telah berakhir.

Selain itu, pengoperasian semula industri harus dipantau supaya mereka tetap mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh MITI. Parti Gerakan Rakyat Malaysia percaya bahawa usaha kerajaan dan semua rakyat pasti berhasil tidak lama lagi. Oleh itu, kekallah tinggal di rumah dan mematuhi arahan PKP.