Siaran Akhbar

Tanda hargai ‘frontliner’, anggota polis Sentul terima 100 pek barangan keperluan harian

Jun 5, 2021

Parti Gerakan Rakyat Malaysia hari ini menyampaikan sumbangan 100 pek barang keperluan harian kepada 100 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Presiden Nasional Parti GERAKAN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sumbangan diberikan kepada anggota polis yang terlibat mengawal keadaan semasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

Menurut Dominic Lau, sumbangan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap tugas yang digalas anggota polis yang merupakan frontliner untuk memastikan rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pengorbanan anggota polis menjalankan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan amat tinggi nilainya dan sebagai penghargaan, Parti GERAKAN tampil menghulurkan sedikit sumbangan.

“Sumbangan berupa minyak, sardin, biskut, gula, beras dan sebagainya memang dilakukan oleh kami sejak PKP terdahulu lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa yang sama, beliau berkata, Parti GERAKAN mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai kerana membantu menjayakan program ini.

Dalam pada itu, tambah Dominic Lau, pihaknya akan meneruskan program sumbangan sepanjang PKP 3.0 ini untuk memastikan anggota-anggota PDRM atau petugas barisan hadapan lain terus bersemangat untuk memutuskan rantai COVID-19.

Selain itu. Parti GERAKAN menyeru orang ramai agar mematuhi SOP sepanjang tempoh Lockdown.

“Kalau kita tak patuh SOP akan ramai lagi anggota barisan hadapan terkorban. Jadi ramai mana pun mereka memang tak akan putus rantaian COVID-19 kalau masyarakat berdegil.

“Petugas barisan hadapan sanggup mengambil risiko sehinggakan mengorbankan nyawa mereka sendiri demi menjaga keselamatan kita. Sama-sama kita sayang dan hargai mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, Parti GERAKAN turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada anggota barisan hadapan yang terkorban disebabkan COVID-19. Ujar beliau, terbaharu seorang jururawat Siti Aishah Mohd Zamri meninggal dunia dalam keadaan mengandung disebabkan jangkitan COVID-19.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai
Presiden Nasional Parti GERAKAN