Siaran Akhbar

Tangguh aktiviti keagamaan sehingga negara pulih

Apr 14, 2020

Peningkatan kes wabak Covid-19 setiap hari bukan sahaja menyebabkan aktiviti himpunan besar terbatas. Malah, aktiviti keagamaan terpaksa ditangguhkan sementara sehingga PKP berakhir. Susulan titah Sultan Selangor berkenaan penangguhan solat terawih, solat Jumaat dan aktiviti kuliah serta ceramah agama di Masjid dalam Negeri Selangor sehingga hujung bulan Mei adalah tindakan bersepadu untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin serius.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan negeri-negeri lain juga mempertimbangkan saranan yang sama terutamanya yang mempunyai kes Covid-19 tinggi. Contohnya seperti di Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Sehingga 13 April 2020, negeri-negeri terbabit mencatatkan peningkatan kes yang tinggi. Contohnya seperti Selangor, pertambahan sebanyak 13 kes menjadikan jumlah kumulatif di Selangor adalah sebanyak 1249 kes. Manakala negeri-negeri lain seperti Johor mencatatkan peningkatan sebanyak 21 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes di Johor menjadikan 579 kes. Oleh yang demikian, negeri-negeri lain diharapkan agar mencontohi Negeri Selangor untuk mempertimbangkan saranan penangguhan aktiviti keagamaan sehingga keadaan negara kembali pulih.

Memandangkan kebanyakan negeri menganjurkan penangguhan aktiviti himpunan besar di Masjid sehingga tempoh PKP berakhir, Parti Gerakan Rakyat Malaysia mengesyorkan supaya penangguhan itu diteruskan sehingga negara disahkan bebas penuh daripada wabak Covid-19. Tindakan ini perlu dilakukan kerana dibimbangi pandemik ini menyerang kembali pesakit yang telah sembuh dan menyebabkan pertambahan kluster selepas tempoh PKP.

Oleh itu, demi mengelakkan pertambahan kes Covid-19, kerajaan negeri harus mempertimbangkan saranan tersebut dalam mengurangkan risiko penyebaran pandemik ini terus berleluasa.