Berita Gerakan

Tiada makna jika Parlimen dibuka hanya untuk bawa agenda politik, kata Gerakan

Jun 19, 2021

PETALING JAYA: Jika agenda sidang Parlimen hanya untuk membawa matlamat politik masing-masing tanpa mengutamakan keselamatan dan kehidupan rakyat, ia jelas tidak membawa sebarang makna ketika negara masih berperang dengan wabak Covid-19, kata Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai.

Bercakap pada sidang media maya hari ini, beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, Parlimen akan dibuka semula pada akhirnya jika mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Apa yang rakyat ingin tahu adalah tujuan dan agenda sidang Parlimen itu? Adakah langkah-langkah dalam memberhentikan penularan wabak Covid-19 ataupun dasar yang menjamin keselamatan dan kehidupan rakyat?

“Sekiranya mereka membawa agenda politik masing-masing, perbuatan tersebut akan kehilangan tujuan sebenar sidang Parlimen, bermaksud ia sama dengan tiada sidang Parlimen dan langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara dilaporkan berkata, sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober.

Keesokannya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja bertitah baginda berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pandangan Agong berhubung sidang Parlimen itu tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

“Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin,” katanya.

Kenyataan terbuka itu menerima kritikan pelbagai pihak dengan menganggap menteri PAS itu menderhaka kepada titah Sultan Abdullah.