Berita Gerakan

Tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal bermotif politik

Jul 21, 2024

Gantung Ahmad Fayhsal usaha ‘bisukan’ isu MAHB – Gerakan

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai tindakan  ‘membisukan’ isu penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan tidak sepatutnya menyekat kebebasan bersuara dan menghalang perkembangan demokrasi.

“Jika urus niaga ini tidak memberi kesan negatif terhadap keselamatan negara dan merupakan urus niaga komersial yang sah dan wajar, mengapa perlu menghalang ahli parlimen PN daripada terus mempersoalkan isu ini?” soalnya menerusi kenyataan media.

Dalam masa yang sama, Dominic turut menganggap tindakan terhadap Wan Ahmad Fayhsal bermotifkan politik dan dendam.

“Pada awalnya, pemimpin Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menyelamatkan rakyat dan negara namun sekarang mereka telah menunjukkan wajah sebenar mereka dan telah menjadi musuh demokrasi  Malaysia yang merosakkan sistem demokratik negara,” katanya lagi.

Beliau turut menganggap tuduhan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa Wan Ahmad Fayhsal memetik surat tanpa nama sebagai kenyataan yang tidak masuk akal.

“Wan Fayhsal sudah menyatakan bahawa ini adalah surat tanpa nama, jika kerajaan berpendapat kandungannya palsu, mereka boleh menjelaskannya, mengapa perlu bertindak berlebihan?

“Menuduh Wan Fayhsal menghasut rakyat untuk tidak berpuas hati terhadap kerajaan adalah tuduhan yang tidak berasas. Ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan adalah fakta, keputusan pilihan raya kecil DUN Sungai Bakap adalah bukti yang kukuh,” tegasnya.

Dewan Rakyat baru-baru ini menggantung Wan Ahmad Fayhsal usulan dakwaannya mengenai surat layang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).