Berita Gerakan

UMANY bertopengkan demokrasi – Gerakan

Nov 1, 2020

KUALA LUMPUR – Semakin ramai tampil tidak kira latar belakang atau ideologi politik menggesa tindakan tegas terhadap University of Malaya Association of New Youth (UMANY) kerana kerap menimbulkan isu sensitif di negara ini.

Terbaharu, Setiausaha Agung Gerakan, Mah Kah Keong memberitahu MalaysiaGazette, kumpulan pelajar ini sebenarnya boleh dianggap cuba mendapatkan publisiti murahan dengan melakukan provokasi ekstrem terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Kata Kah Keong, sebenarnya UMANY ini merupakan satu kumpulan fanatik yang taksub dengan politik DAP bertopengkan demokrasi namun sebaliknya.

“Memang tidak begitu mengejutkan sebenarnya, UMANY ini memang suka timbulkan keadaan huru hara selama ini. Sememangnya kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang kemudiannya dipadamkan oleh mereka langsung tidak boleh kita tolak ansur.

“UNAMY sebenarnya tidak bijak, mereka tidak nampak peranan YDPA dalam memastikan keadaan kita sentiasa harmoni walaupun ketika ini kita sedang berhadapan dengan ketidakstabilan politik, kemudian pandemik Covid-19 yang masih terus menggila.

“Keadaan pandemik juga telah menyebabkan kita tidak boleh membubarkan parlimen ketika ini, macam-macam sedang kita lalui tapi UNAMY pula boleh keluar kenyataan yang sememangnya biadab dan membuatkan umum rakyat Malaysia marah.

“Kami mohon supaya PDRM ambil tindakan setegas mungkin terhadap kumpulan ini,” katanya sebentar tadi.

UMANY dalam Facebooknya kelmarin dilaporkan berkata, Malaysia telah meneruskan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sejak penubuhannya.

Maka, di bawah sistem itu, walaupun Malaysia mengekalkan sistem monarki, raja hanya mempunyai status simbolik yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut persatuan itu, Artikel 40, perenggan 1A Perlembagaan, Ketua Tertinggi Persekutuan (YDPA) harus bertindak sesuai dengan nasihat yang dibuat oleh Kabinet.

“Sama ada melantik Ketua Hakim, duta diplomatik atau bahkan meluluskan berbagai undang-undang di Parlimen, raja tidak mempunyai wewenang,” kata UMANY.

Persatuan itu menyatakan pendiriannya iaitu YDPA tidak boleh mencampuri urusan negara, tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Bagaimanapun hantaran di aman Facebook itu telah dipadamkan.

Kata Kah Keong lagi, YDPA sepatutnya disanjung tinggi kerana bertindak menjadi penyelamat politik di Malaysia.

“Perbezaan politik antara BN, PN, PH+ sudah pasti meningkatan kehangatan perebutan kuasa dalam pembentukan kerajaan. Tetapi mereka (rakyat Malaysia) tidak berani derhaka kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda YDPA.

“Kumpulan seperti UNAMY inilah yang seperti ‘penderhaka’ keluarkan kenyataan-kenyataan yang langsung tidak cerminkan apa-apa kecuali agenda tertentu,” tegasnya.