Berita Gerakan

Wajibkan penggunaan pelitup muka di sekolah – Gerakan

Jun 11, 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan disaran agar mewajibkan penggunaan pelitup muka dalam kalangan pelajar dan guru ketika bermulanya sesi pembukaan semula persekolahan pada 24 Jun ini.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sesi pembelajaran tersebut bukan sahaja perlu mematuhi garis panduan, tetapi harus ditambah baik dengan mewajibkan perkara tersebut.

“Biarpun garis panduan yang diperuntukkan seperti pengukuran suhu badan telah dilakukan dan dikuatkuasakan, penggunaan topeng muka harus diwajibkan terutamanya bagi pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah yang akan mula bersekolah secara berperingkat pada masa akan datang.

“Ia sejajar dengan misi kerajaan untuk mengurangkan risiko mudah jangkit dalam kalangan kanak-kanak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dominic, selain mahu menggalakkan murid-murid mengamalkan amalan penjagaan kebersihan dan kesihatan, tindakan itu dapat meningkatkan kesedaran amalan pencegahan penyakit berjangkit dalam negara.

Katanya, amalan pemakaian topeng muka walaupun dilihat akan merimaskan pelajar mahupun kanak-kanak, namun ianya harus dipraktikkan demi kepentingan bersama.

“Oleh yang demikian, Gerakan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan saranan tersebut dalam usaha memutuskan rantaian pandemik ini,” ujarnya.