Berita Gerakan

Wanita PN sokong PM Muhyiddin, sangkal dakwaan UMNO kerajaan gagal

Jul 8, 2021

KUALA LUMPUR, 8 Julai — Wanita Perikatan Nasional (PN) hari ini menyangkal dakwaan bahawa kerajaan PN gagal dalam beberapa isu yang dijadikan alasan kepada pendirian Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik balik dan menamatkan sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata berkata tindakan itu jelas bermotivasikan kepentingan sempit kelompok tertentu serta membelakangkan kepentingan rakyat dan negara ketika kerajaan sedang menumpukan sepenuh usaha serta tenaga memerangi pandemik COVID-19 dan membawa negara keluar daripada kemelut berkenaan.

“Rakyat mahukan semua kelompok terutama kelompok politik untuk mengetepikan kepentingan politik partisan dan menggembleng seluruh usaha, tenaga dan sumber untuk membantu mereka dalam keadaan yang getir ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dinyatakan bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Senator Nuridah Mohd Saleh, Ketua Wiranita STAR Evelyn Gobile, Ketua Wanita SAPP Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan Janice Wong Oi Foon.

Rina berkata Wanita PN berikrar akan tetap bersama dengan Perdana Menteri sehingga ke hujung jalan di dalam usaha genting bagi menewaskan pandemik COVID-19 dan membawa rakyat menikmati kehidupan seperti sediakala.

Beliau berkata Wanita PN juga menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri untuk terus meneraju kerajaan PN dan sebaik menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin utama negara, Muhyiddin telah memimpin sehabis baik serta menyediakan jalan keluar dengan Pelan Pemulihan Negara yang jelas.

Di SEREMBAN, Rina turut meluahkan kekecewaannya dengan keputusan MT UMNO dan berkata pihak tertentu tidak perlu menjadikan situasi itu sebagai modal berpolitik sebaliknya turut bekerjasama menangani masalah rakyat dalam mendepani wabak tersebut ketika ini.

“Dalam keadaan sekarang, negara berdepan COVID-19 yang tidak pernah kita alami dan pada masa sama, kerajaan percepat proses pemvaksinan dengan lebih 375,000 dos suntikan vaksin semalam, yang tertinggi melalui usaha dijalankan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat institut penjagaan orang kurang upaya di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata kerajaan berusaha sebaik mungkin membantu rakyat berdepan kesukaran menerusi pelbagai inisiatif termasuk mengeluarkan belanja keseluruhan berjumlah RM380 bilion sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memutuskan parti itu menamatkan sokongan kepada Muhyiddin serta-merta setelah mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam bermula pada 8.30 malam.

Mengulas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri semalam, Rina berkata ia merupakan keputusan yang tepat dan menyifatkan Ahli Parlimen Bera itu individu paling layak memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menerusi kenyataan hari ini turut menolak tuduhan Ahmad Zahid mengenai kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat dan menyifatkan ia sebagai ulang suara tohmahan pembangkang iaitu PKR serta DAP.

Beliau berkata kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500 bilion setakat ini untuk membela nasib rakyat dan membina semula ekonomi negara.

“Dari segi menjaga kebajikan rakyat, menjaga kesihatan rakyat dan membina semula ekonomi, kerajaan sedang menuju ke arah kejayaan.

“Tidak ada sebarang ugutan atau tekanan yang boleh menutup hakikat sebenar bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa memberi keutamaan kepada agenda rakyat,” katanya.

Wan Saiful berkata parti itu berpandangan dalam situasi ini, Ahmad Zahid sendiri gagal menjaga perpaduan dan kebersamaan parti-parti politik Melayu-Islam, gagal memahami rakyat yang menuntut kerajaan prihatin serta mendahulukan keperluan rakyat.

“Pengumuman yang dibuat oleh Ahmad Zahid tidak memberi kesan kepada perjalanan kerajaan kerana dalam sistem demokrasi Westminster, kerajaan dibentuk oleh seorang Perdana Menteri berdasarkan sokongan terbanyak daripada Ahli-Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata Bersatu berdiri teguh mendukung kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan mengambil sikap meneruskan tumpuan kepada menjaga kepentingan rakyat.

— BERNAMA

强硬执行国文教数理政策 方志伟轰教育部开倒车

强硬执行国文教数理政策 方志伟轰教育部开倒车

(槟城30日讯)民政党总财政方志伟炮轰团结政府教育政策开倒车,不顾家长与社会的反对,更不惜牺牲学生的前途,一意孤行落实国文教数理政策!

他说,团结政府强硬执行国文教数理政策,肯定将影响学生的出路,并削弱大马年轻一代的竞争力。

baca lagi
电子发票小商贩冲击大

电子发票小商贩冲击大

百货通膨,经济不景,电子发票(e-Invoice)制度一旦仓促全面落实,无疑是雪上加霜,不仅加重小贩及商家们的负担,对于年迈及生意不佳的小贩更是带来严重的冲击, 政府是要他们“提前结业”吗?

baca lagi