Berita Gerakan

70 peratus calon Gerakan PRU-15 orang muda

Ogo 20, 2021

GEORGETOWN: Parti Gerakan akan mempertaruh kira-kira 70 peratus muka baharu terdiri daripada pelbagai kaum sebagai calon pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, majoriti calon itu pula adalah golongan profesional muda yang menawarkan satu pembaharuan dalam pentadbiran negara.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinangberkata, semua ahli dan pemimpin Gerakan ketika ini sudah diingatkan supaya bersiap sedia menghadapi PRU yang boleh diadakan pada bila-bila masa setelah negara mencapai kelompok imuniti.

Katanya, Ahli Jawatankuasa Khas PRU juga akan ditubuhkan di setiap bahagian Gerakan di seluruh negara supaya jentera parti itu dapat diaktifkan dan bersedia berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Gerakan telah memulakan kerja-kerja kesiapsagaan untuk berdepan PRU akan datang.

“Cara berkempen mungkin lain berbanding dulu yang mana kami percaya kempen secara dalam talian adalah trend yang baharu, maka harus diadaptasi oleh calon-calon kami yang bakal bertanding pada PRU kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tong Keong juga menggesa ahli parti itu memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon mewakili Gerakan untuk bertanding di PRU kelak dan memberi bantuan kepada parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam kempen pilihan raya.

Dalam masa sama, beliau berharap ahli parti itu boleh menyesuaikan diri dalam kebiasaan hidup dan politik baharu yang banyak bergantung kepada media sosial dan teknologi.

Jelasnya, pendekatan itu kini lebih tepat dan pantas dalam menyalurkan maklumat dan polisi kerajaan Pusat yang memanfaatkan rakyat kepada penduduk di kawasan masing-masing.  – UTUSAN ONLINE