Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

Akta Kawalan & Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Sah

Sep 13, 2021

Pengumuman kerajaan untuk menggubal Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak membawa maksud menyekat penyebaran agama bukan Islam terhadap sesama warganegara bukan Islam.

Setiausaha Agung Parti GERAKAN, Mak Kah Keong berkata, pengumuman tersebut adalah sah di sisi Perlembangaan Persekutuan. “Ramai yang keliru dengan pengumuman ini walhal perundangan ini adalah untuk menyekat penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam sahaja”.

“Hak ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa ‘setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sungguhpun begitu, kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam. Ini adalah sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

Mak yang juga seorang peguam berkata, sudah termaktub dalam Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaaan persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebarkan atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang-orang Islam.

“Kewujudan akta ini bukan sahaja berfaktor dari fakta sejarah, yang mana Islam menjadi agama yang dominan di Semenanjung Tanah Melayu sejak kurun ke 12 lagi, tetapi juga sebagai mengiktiraf tonggak dan kekuasaan Raja-Raja Melayu yang kesemuanya adalah beragama Islam sewaktu Negara Malaysia ini dibentuk. Jadi itulah keindahan Malaysia,”ujarnya.

Perkembangan lain, Mak menjelaskan, walaupun terdapat larangan dalam Perlembagaan Persekutuan, namun sehingga kini kita tiada satu akta mendefinisikan apakah jenis aktiviti kepada penyebaran dan hukuman kepada larangan ini.

Mak Kah Keong
Setiausaha Agung GERAKAN