Berita Gerakan

Berjaya Peroleh Taraf Kewarganegaraan Setelah 6 Tahun

Okt 19, 2020

IPOH- Sorang ibu berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi anak perempuannya Soon Lin Yong, 18 yang kini belajar di Tingkatan Enam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam berkata, wanita tersebut, Son Ah Lin telah berusaha sejak enam tahun yang lalu tetapi impiannya tidak berjaya sehingga mendapat pertolongan dari Pusat Khidmat ADUNnya bagi mendapatkan kad pengenalan.

“Sebelum ini beliau telah berjumpa dengan banyak pihak bagi mendapatkan bantuan tetapi usahanya sia-sia sahaja kerana kesemua mereka tidak dapat membantu beliau bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan dan bantuan mereka hanya tinggal sebagai janji-janji kosong sahaja.

“Beliau telah berjumpa dengan saya dan menerangkan beliau menghadapi masalah dalam mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi anaknya yang telah menyebabkan masa depan anaknya menjadi tanda tanya,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Kata Sivasubramaniam, anaknya tersebut juga menghadapi masalah untuk belajar di sekolah kerana ketiadaan Kad Pengenalan yang mana telah memberi kesan kepada masa depannya sehingga kini.

“Saya berasa amat dukacita dengan keadaan ini dan saya telah mengadakan perjumpaan dengan Pengarah JPN bersama keluarga ini, di pejabat Jabatan Perdaftaran Negara, Negeri Perak dan membincangkan masalah ini memandangkan beliau dari golongan miskin yang kurang berkemampuan.

“Pada dasarnya JPN telah bersetuju untuk memberi taraf kewarganegaraan kepada Soon Lin Yong dengan alasan semua borang-borang permohonan diserahkan kepada JPN.

“Dengan ini saya telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri dengan surat bagi mengetahui perkembangan lanjut dari masa ke semasa berhubung permohonan ini,” katanya.

Katanya lagi, akhirnya permohonan taraf kewarganegaraan Soon Lin Yong telah diluluskan dan beliau akan memperolehi Kad Pengenalanya.

“Puan Son Ah Lin dan anaknya amat gembira dengan berita ini dan beliau berterima kasih kepada Kerajaan kerana telah meluluskan taraf kewarganegaraan anaknya.

“Saya amat berterima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Negara dan Kementerian Dalam Negeri kerana membantu Soon Lin Yong memperolehi taraf kewarganegaraan memandangkan beliau adalah pelajar yang rajin dan berkebolehan untuk berjaya dalam kerjayanya,”katanya.