Berita Gerakan

Cadangan rentas parti cermin keterbukaan kerajaan PN terhadap pembangkang

Ogo 14, 2021

KUALA LUMPUR: Tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencerminkan keterbukaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap peranan yang boleh dimainkan pembangkang dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehubungan itu, Wanita PN menerusi kenyataan bersama lima pemimpin hari ini, mengajak semua parti politik di negara ini untuk menyokong semua cadangan berkenaan dan melaksanakan gencatan politik sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 diisytiharkan.

Semua mereka yakin cadangan itu akan disokong semua pihak yang mahukan kestabilan politik bagi menjayakan usaha memulihkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda.

“Cadangan ini menonjolkan ketulusan dan kepemimpinan tinggi Tan Sri Muhyiddin yang jelas meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi politik partisan yang sempit,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Wanita PN yang juga Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Senator Nuridah Mohd Salleh; Ketua EXCO Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Evelyn Gobile; Ketua Wanita Parti Progresif Sabah (SAPP) Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Gerakan Janice Wong Oi Foon.

Semalam, Muhyiddin dalam Ucapan Khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara berkata, kerajaan mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Sementara itu, kelima-lima pemimpin wanita itu yang mengalu-alukan semua cadangan terbabit turut menyifatkan pihak yang berusaha untuk menggugat kestabilan kerajaan sebagai tidak bertanggungjawab dan anti-nasional.

Mereka berkata, elemen dalam cadangan itu bukan hanya terhad kepada pengurusan kesihatan dan ekonomi berkaitan COVID-19 semata-mata, sebaliknya bersifat jangka panjang meliputi reformasi politik dan perlembagaan khususnya melalui cadangan untuk mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal dan Undi 18 secara automatik.

“Kami juga amat menghargai cadangan untuk menambah siling dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion lagi menjadikan (keseluruhan) RM110 bilion. Tindakan ini akan (dapat) memperkasakan usaha dalam memastikan kesihatan dan kebajikan rakyat yang sangat terkesan oleh pandemik dibela,” kata kenyataan itu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, apa yang dikemukakan perdana menteri bukanlah sekadar retorik, malah pembangkang tidak wajar menolaknya demi masa depan negara.

“Persefahaman rentas parti ini adalah kenyataan seorang pemimpin berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi. Cadangan itu adalah peluang untuk membina kerjasama antara parti dan mengembalikan negara ke landasan lebih stabil dalam memulihkan kesihatan dan ekonomi negara,” katanya. – BERNAMA