Berita Gerakan

COVID-19: GERAKAN kemuka cadangan operasi kepada MITI

Apr 16, 2020

KUALA LUMPUR: Sektor perindustrian tempatan disaran melaksanakan beberapa kaedah pengoperasian semula, susulan penularan pandemik COVID-19.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata kertas cadangan menggariskan perincian perkara itu akan dihantar kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali, untuk pertimbangan direalisasikan.

Beliau berkata, cadangan konstruktif itu diharap dapat diguna pakai sebagai prosedur operasi standard (SOP) semua syarikat yang dibenarkan untuk beroperasi semula.

“GERAKAN percaya bahawa pencegahan wabak COVID-19 adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia.

“Kami sentiasa berpendirian untuk berusaha menyelesaikan masalah untuk rakyat dan bersatu di bawah payung negara,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Dominic berkata, cadangan dikemukakan itu mencakupi dua perincian utama iaitu Syarat Asas Pengoperasian Semula Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Langkah-langkah Pencegahan, Kawalan dan Pelan Kecemasan Covid-19.

“Syarat asas untuk pengoperasian semula dipecahkan mengikut kawasan zon dan di bawah aspek ini, pengoperasian semula syarikat perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan serta perlindungan pandemik.

“Ia termasuk membenarkan pengoperasian semula di kawasan Zon Jingga dan Zon Kuning jika tiada kes baru jangkitan Covid-19 selama 7 hari, manakala pergerakan hanya dibenarkan di Zon Jingga dan Kuning tanpa membabitkan kawasan Zon Merah dan Zon Hijau,” katanya.

Dr Dominic berkata, pekerja yang dalam pemantauan dan mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19 juga hanya dibenarkan bekerja semula jika tidak mempunyai simptom jangkitan selepas menjalani kuarantin berpusat atau di rumah selama 14 hari.

“Syarikat juga dicadangkan mewujudkan sistem merekod dalam pengoperasian semula bagi semua kakitangan atau pelawat, merangkumi pemantauan kesihatan, sejarah perjalanan, masa daftar masuk dan daftar keluar bangunan, pelan pembekalan, pengedaran serta penggunaan sumber seperti topeng muka dan bahan sanitasi.

“Kami juga menyeru syarikat-syarikat tempatan mempraktikkan langkah pencegahan dan rawatan yang sewajarnya seperti berikut untuk mengurangkan risiko penyebaran wabak,” katanya.