Berita Gerakan

Dakwa disogok, Gerakan cabar ahli Parlimen PH lapor polis, SPRM

Ogo 13, 2021

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencabar ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa diarah beralih kesetian kepada Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan ugutan atau sogokan supaya membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah(SPRM) bagi mengemukakan bukti tersebut.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, jika ahli Parlimen PH tidak dapat mengemukakan bukti kepada PDRM atau SPRM ia jelas bahawa dakwaan itu hanya sekadar propaganda politik murahan sahaja.

Beliau berpendapat, cara sedemikian adalah sebagai satu taktik kotor politik ahli Parlimen PH yang sengaja melakukan dakwaan sedemikian untuk menipu dan mengelirukan rakyat.

“Ini sekali gus mewujudkan perasaan benci rakyat kepada PN dan menampakkan kerajaan sekarang sanggup buat apa sahaja untuk memikat anggota Parlimen bagi mengekalkan pemerintahan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Dominic menggesa ahli Parlimen PH segera berhenti membuat keributan mengenai isu-isu dan cerita yang menjurus menghasut rakyat kerana apa sahaja tuduhan dilontarkan mestilah berlandaskan fakta.

“Saya juga meminta ahli Parlimen PH untuk menyerahkan bukti yang mereka ditawarkan rasuah kepada SPRM. Biarkan anggota penguatkuasa siasat supaya kebenaran terbukti,” katanya lagi.

Pada minggu lalu, beberapa ahli Parlimen PH mendakwa mereka telah ditawarkan rasuah seperti wang tunai dan jawatan dalam kabinet untuk mengalihkan kesetiaan mereka kepada PN.

Antaranya termasuklah bekas Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran, ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen.

Dalam pada itu, Dominic mendesak PDRM dan SPRM agar memandang serius isu dakwaan ‘godaan’ yang didakwa diterima ahli Parlimen terbabit dan dapat menjalankan siasatan secepat mungkin.

Pada masa sama, beliau juga menasihati orang ramai agar berhenti membuat spekulasi mengenai perkara itu termasuk tidak membuat penilaian yang tidak adil terhadap PN.

“Saya juga menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik agar dapat memerangi wabak Covid-19 dengan segenap kekuatan dan dapat mencegah penyebaran tuduhan-tuduhan palsu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Gerakan pada Khamis selesai mengagihkan makanan, minuman sihat, sayur-sayuran dan buah-buahan kepada penduduk yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu, Kuala Lumpur.

Dalam program terbabit, Dominic mengagihkan barangan kepada 100 isi rumah termasuk 13 keluarga yang dikuarantin kerana dijangkiti Covid-19.

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi