Berita Gerakan

GERAKAN akan pastikan calon PN menang lebih besar di PRK Kemaman

Nov 10, 2023

Kuala Terengganu: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan menggerakkan jentera bagi membantu calon Perikatan Nasional (PN) meraih kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, pihaknya akan turun berkempen dengan bersungguh-sungguh terutama kepada pengundi Cina memberi sokongan dan memilih calon Pas pada hari mengundi nanti.

“Walaupun kita sedar cabaran pada PRK Kemaman, namun kita akan memainkan peranan utama berkempen untuk meraih sokongan terutama pengundi Cina dan India di Kemaman.

“Kita juga sudah memberi arahan dengan menetapkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) terutama kepada Ketua Bahagian Kemaman supaya sekurang-kurangnya 1,000 pengundi beri sokongan kepada calon PN pada PRK Kemaman,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Gerakan Terengganu Tahun 2023 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Gerakan Negeri Terengganu, Tan Lee Ngee dan Setiausaha Agung, Loh Kah Yong.

Pada majlis itu juga, seramai 80 ahli baru dari Bahagian Gerakan Marang menyerahkan borang keahlian.

Mengulas lanjut, Lau berkata, pihaknya juga akan turun berkempen pada PRK itu dengan memberi tumpuan di kawasan penduduk Cina di Chukai.

“Kita juga akan melakukan perjumpaan dengan NGO di Kemaman dengan mengadakan dialog bagi memahami apa kehendak yang mereka inginkan daripada calon.

“Malah saya sangat yakin calon PN yang bertanding PRK nanti akan meraih kemenangan dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu,” katanya.

Pada PRU-15 lalu, calon Pas, Che Alias Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi dengan memperoleh sebanyak 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Che Alias menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Said Ahmad (38,535 undi) manakala calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi).

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias pada PRU-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman di Terengganu pada 2 Disember dan 18 November ditetapkan sebagai hari penamaan calon.