Berita Gerakan

Gerakan berhajat sertai Perikatan Nasional

Sep 13, 2020

SEREMBAN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sudah menyatakan hasrat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi salah satu parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan untuk menyertai PN itu telah dipersetujui Jawatankuasa Pusat Gerakan dan parti itu kini hanya menanti jawapan daripada Perdana Menteri ataupun pihak PN mengenai perkara tersebut.

“Gerakan sudah menunjukkan hasrat kepada Perdana Menteri bahawa ingin bersama PN dan peranan yang Gerakan akan mainkan dalam gabungan itu ialah Gerakan sebuah parti berbilang kaum, agama dan budaya. Ini akan membawa peranan yang cukup penting.

“Hasrat dan niat ini sudah dibawa ke mesyuarat jawatankuasa pusat yang diadakan pada bulan Mei lalu dan perkara itu telah dipersetujui. Kini, kita tunggu sahaja (jawapan) daripada Perdana Menteri atau PN, biarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Ke-45 dan Wanita dan Pemuda Ke-33 Gerakan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Sembilan, Datuk Choong Vee Hing.

Sementara itu, Hoe Chai berkata, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Gerakan hanya akan bertanding di kerusi yang dirasakan boleh dimenangi sahaja.

“Selepas Gerakan keluar daripada Barisan Nasional (BN) memang kerusi yang kita boleh bertanding itu adalah dibawah keputusan kami sendiri tetapi kali ini kerana sumber adalah terhad, oleh itu kami mesti pastikan bahawa kami bertanding di kerusi-kerusi yang kami agak boleh menang dalam PRU-15 akan datang.

“Oleh itu, kami akan buangkan cara-cara yang tradisi, tidak ada lagi kata-kata seperti ‘ini kawasan kita, ini kawasan Gerakan,’ tidak ada lagi, sesiapa mahu bertanding, kena bertanding dan menangkan kawasan itu untuk kembali kepada parti Gerakan,” katanya.

Tambahnya, Gerakan sudah memulakan persiapan untuk bersedia bagi menghadapi PRU-15 kerana baginya pilihan raya umum tersebut akan menjadi penentu ‘hidup atau mati’ parti Gerakan dalam arena politik negara.

“Saya sudah katakan banyak kali, ini adalah survival, apa pun terjadi kami mesti menang pada pilihan raya yang akan datang, kita mesti pecahkan angka kosong, kami mesti pastikan kami bersedia sepenuhnya untuk PRU-15 akan datang,” katanya.

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi