Berita Gerakan

Gerakan buat tapisan ketat calon PRU-15

Sep 27, 2020

IPOH – Semua calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan melalui tapisan ketat sebelum diisytiharkan sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan setiap calon yang dipilih bersih daripada salah laku dan memiliki integriti yang tinggi.

“Nama-nama calon yang diterima akan dihantar ke agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Jika ada rekod jenayah mahupun tidak baik di agensi penguatkuasaan tertentu, memang kita akan keluarkan nama mereka dalam senarai calon parti untuk bertanding pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana calon yang bermasalah kerana integriti parti Gerakan sebagai parti yang bersih perlu dikekalkan.

“Integriti parti tidak boleh terjejas akibat calon yang bermasalah. Sebab itu semakan dilakukan dan tidak teragak-agak keluarkan nama mereka daripada senarai calon walau dalam saat akhir sebelum penamaan.

“Seperti saya katakan, selama 39 tahun wakil rakyat dari Gerakan pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini kerana kita bersih dan tiada dakwaan rasuah oleh SPRM,” katanya.

Dalam perkembangn sama beliau berkata, semua pemimpin peringkat negeri telah mengemukakan dua nama calon untuk bertanding di kawasan masing-masing namun ia akan diputuskan oleh ahli jawatankuasa pusat.

“Bagi Gerakan, persiapan kita dalam menghadapi PRU-15 kini berada di gear tiga dan perlu memastikan setiap jentera bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.