Berita Gerakan

Gerakan fokus kebajikan rakyat

Ogo 27, 2021

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kini lebih mengutamakan dan mementingkan kebajikan rakyat serta menangani Covid-19 susulan isu politik negara kini kembali stabil.

Menurut Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, tindakan itu dibuat kerana ingin melihat rakyat hidup seperti biasa dan bebas ke mana-mana demi kemajuan negara.

“Isu politik juga sudah stabil dan mencapai beberapa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang. Jadi, inilah masa yang sesuai untuk sama-sama kita hapuskan Covid-19.

“Kalau lihat semalam (Khamis) kita sudah capai 24,591 kes Covid-19 dan jumah kematian secara keseluruhan mencecah 15,211. Ini satu perkara yang membimbangkan dan perlu segera ditangani,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Program Helping Hand Gerakan bersama penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Sri Wahyu, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur berjaya dilaksanakan mengikut perancangan.

Dominic berkata, dalam program itu, Gerakan mengedarkan barangan keperluan asas kepada penduduk yang tinggal di kawasan perumahan berkenaan bagi meringankan beban mereka.

Dalam perkembangan lain, Gerakan turut menyambut baik seruan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyeru orang ramai agar menderma darah kerana bekalan darah tidak mencukupi.

“Saya akan mengarahkan semua ahli parti dari seluruh negara untuk menderma darah. Kami juga akan mengadakan program derma darah pada 17 September ini di Ibu Pejabat Gerakan, Menara PGRM.

“Rata-rata jumlah darah yang diperlukan setiap minggu untuk penggunaan pesakit di seluruh negara adalah 14,000 beg, termasuk di Pusat Darah Negara yang memerlukan 3,500 hingga 4,000 beg seminggu untuk bekalan ke hospital di Lembah Klang.

“Namun, peningkatan kes Covid-19 dari 31 Mei hingga 25 Julai (2021) telah menyaksikan penurunan ketara bekalan darah seluruh negara,” kata Dominic.