Berita Gerakan

Gerakan gesa kaji semula pemansuhan subsidi minyak masak

Jun 22, 2022

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keputusan memansuhkan subsidi minyak masak tulen, harga kawalan siling ayam dan telur ayam mulai bulan depan.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, keputusan kerajaan itu akan membebankan rakyat serta memburukkan lagi kesan inflasi.

“Keputusan ini memberi impak yang besar kepada rakyat kerana bahan makanan yang akan dimansuhkan subsidi serta kawalan harga itu merupakan makanan asas semua rakyat tanpa mengira kaum.

“Malah, pemansuhan subsidi akan mengakibatkan harga barang meningkat sekali gus membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Justeru, Tong Keong menggesa kerajaan memberi penjelasan kepada rakyat sebab mereka mengambil keputusan sedemikian.

“Rakyat tidak faham, mengapa keputusan diambil secara terburu-buru jadi kita minta kerajaan beri penjelasan untuk perkara tersebut,” ujarnya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran. – MalaysiaGazette