Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

Gerakan saran kerajaan pertimbang saringan percuma selepas PKP

Apr 20, 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya mempertimbangkan saringan kesihatan secara percuma selepas tempoh Perintah Kawalan Pergearakan (PKP) sebagai langkah memastikan rantaian penularan wabak Covid-19 terus terputus dan tidak berulang.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerajaan juga perlu mempergiat kempen penjagaan dan pengamalan kesihatan serta kebersihan diri di media massa dan laman sosial untuk mempertingkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan perkara itu khususnya kepada warga emas dan kanak-kanak biarpun PKP telah berakhir.

“Selain itu, pengoperasian semula industri harus dipantau supaya mereka tetap mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

“Parti Gerakan percaya bahawa usaha kerajaan dan semua rakyat pasti berhasil tidak lama lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama Dominic berkata, memandangkan trend pandemik Covid-19 semakin menurun sejak kebelakangan ini, kerajaan perlu mempertimbangkan proses pembersihan secara menyeluruh jika ianya kekal mencatatkan jumlah bawah 50 kes setiap hari.

Ujarnya, tempoh kawalan PKP yang akan berakhir 28 April ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memutuskan rangkaian wabak berkenaan.

Banyak proses perlu dilakukan seperti menyahkuman, steril, sanitasi dan sebagainya untuk melindungi orang ramai daripada dijangkiti, katanya.

Tambah beliau, proses pencegahan itu perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon semakin pulih iaitu bermula dengan zon hijau dan diikuti dengan zon-zon lain.

 “Fasa ini akan memudahkan proses pemulihan dan pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh di semua lokasi secara tidak langsung.” katanya.