Berita Gerakan

Gerakan Tidak Akan Kembali Ke BN – Dominic Lau

Nov 23, 2021

23 NOV: Gerakan menyatakan tidak mungkin untuknya kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) walaupun pakatan politik itu berjaya menang dengan gaya cantik dalam pilihan raya negeri di Melaka, lapor MalaysiaGazette.

Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, Gerakan memilih untuk keluar BN pada tiga tahun lalu kerana gagal melihat peranan yang boleh dimainkan parti itu dalam BN.

Katanya, walaupun Gerakan pulang dengan tangan kosong sementara BN berjaya mencipta kemenangan di Melaka, orang ramai akan dapat melihat prinsip Gerakan dalam memperjuangkan integriti suatu hari nanti.

Ditanya peranan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) pula, Dominic berkata, manifesto dan hala tuju PN adalah dibuat berdasarkan perbincangan semua parti.

“Sekurang-kurangnya suara Gerakan telah didengar, tetapi kami gagal menyampaikan mesej kami kepada pengundi dalam masa yang terlalu singkat ketika menyertai pilihan raya negeri di Melaka,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, salah satu cabaran Gerakan dan PN adalah sesetengah pengundi tidak dapat membezakan antara BN dan PN.

Katanya, Gerakan akan melakukan mesyuarat post mortem untuk mengenal pasti kelemahan yang ada.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, kejayaan BN untuk menang di Melaka dan keupayaan MCA untuk “memecah telur” membuktikan model kemajmukan BN sesuai dengan kepentingan negara dan rakyat.