Slide SERTAI KAMI SUMBANGAN SERTAI KAMI SUMBANGAN

Berita Gerakan

Gerakan umum sertai PN

Feb 11, 2021

Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengumumkan parti itu menyertai Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Parti Gerakan Malaysia kini merupakan sebahagian dari gabungan demokrasi yang dinamakan PN.

“Kita akan bekerjasama dengan parti-parti dalam PN untuk memastikan kebajikan rakyat dan pembangunan sosio-ekonomi diutamakan.

“Gerakan akan bekerjasama dengan PN dalam menyediakan sebuah kerajaan rakyat, yang mengutamakan kesejahteraan dan kesederhanaan,” kata Presidennya Dominic Lau dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Gerakan memutuskan hubungan dengan BN selepas gabungan itu tewas pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Parti tersebut dilaporkan menerima surat dari Muhyiddin yang menyatakan bahawa Majlis Tertinggi PN bersetuju menerima Gerakan sebagai komponen.

“Sehubungan dengan itu, parti anggota PN hendaklah mematuhi segala syarat-syarat kemasukan sebagai parti anggota sebagaimana yang dikehendaki dalam perlembagaan parti PN,” kata Muhyiddin menerusi surat bertarikh 29 Januari.

Muhyiddin menerusi satu kenyataan dalam akaun Facebook berkata dia telah menyerahkan surat penerimaan kemasukan parti itu kepada Lau.

Jelasnya, dia percaya langkah tersebut dapat memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti politik yang mewakili masyarakat pelbagai kaum.

“PN akan terus komited untuk membina negara Malaysia yang aman, makmur dan stabil,” tambahnya.

Sementara itu, Lau juga menyeru ahli politik supaya bersatu dan mengutamakan negara berbanding kepentingan diri.

“Gerakan percaya pentingnya perpaduan dalam politik. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, bahasa dan wilayah, Gerakan teguh bahawa perpaduan dalam politik amat penting dalam menjana persefahaman memacu obor kegemilangan negara ke hadapan.

“Politik perlu berhemah dan tanpa sebarang permusuhan. Ahli politik pula perlu bersatu dan mengutamakan negara melebihi keinginan masing-masing.

“Saya yakin gabungan baru ini akan mengutamakan perpaduan dan persefahaman,” katanya lagi.