Berita Gerakan

Hidupkan semula MIB

Nov 20, 2020

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menghidupkan kembali Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dipantau Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin.

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, H. Puvaniten berkata, pelan yang telah diluluskan pada April 2017 perlu dihidupkan semula bagi memperbaiki kedudukan sosio ekonomi masyarakat India dalam pelbagai sektor seperti dirangka dalam MIB.

“Kita tahu MIB ini telah diberhentikan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kini Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan. Sehingga kini kita tidak tahu status MIB.

“Di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu, ia telah mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan pelan pembangunan ini kerana data-data dan cadangan-cadangan yang dikemukakan dalamnya adalah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat India,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Pada masa sama, Puvaniten menyeru supaya MITRA diletakkan kembali di bawah pemantauan JPM dan bukannya di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

“Kedua-dua entiti itu mempunyai misi dan objektif yang berbeza. Sebelum ini, ia diletakkan di bawah pemantauan khas yang secara langsung daripada JPM. Kini status MIB dipertikaikan. Adakah pelan 10 tahun ini terbengkalai begitu sahaja?” soal Puvaniten.

Puvaniten juga mendakwa MITRA yang sebelum ini dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) di bawah JPM telah melaksanakan banyak program untuk masyarakat India.

“Contohnya, pemberian kewarganegaraan bagi kes kad pengenalan merah dan kes ketiadaan sijil kelahiran kepada kaum India yang dijalankan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara. Di bawah kerajaan PH tiada rekod dan status terkini berhubung pemberian kewarganegaraan.

“Namun, sehingga kini tiada status terkini pemberian kewarganegaraan. Begitu juga dengan cadangan-cadangan sektor yang lain seperti dalam sektor perkhidmatan kerajaan dan pembangunan keluarga B40,” katanya.