Berita Gerakan

Hukum pemandu mabuk bukan sekat lesen jual arak

Jun 4, 2020

KUALA LUMPUR – Tindakan menyekat, membeku dan menghentikan lesen penjualan produk alkohol bagi membendung berlakunya kemalangan kerana pemandu mabuk dianggap tidak bertepatan.

Ini kerana, kesalahan tersebut perlu diletakkan ke atas individu terbabit dengan mempertimbangkan hukuman setimpal terhadapnya, kata Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

“Gerakan mengecam perbuatan pemandu mabuk terutamanya yang menyebabkan kecederaan dan kematian. Ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Namun begitu, soal minuman alkohol bukan persoalannya. Ianya diumpamakan seperti kejadian individu ambil pisau sayur membunuh orang, tetapi kita jadikan penjual pisau sebagai subjek untuk dipersalahkan.

“Apakah kita akan melarang penjualan pisau sebagai langkah pencegahan?, katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dominic, kerajaan sepatutnya merujuk undang-undang negara lain dan mengkaji cara mengawal masa dan menyekat penjualan produk alkohol serta perintah larangan mabuk di kawasan tertentu untuk mencegah masalah orang mabuk di tempat awam.

Ujarnya, untuk menyelesaikan masalah pemandu mabuk, undang-undang jenayah perlu diperketatkan bagi membendung permasalahan tersebut.

“Difahamkan beberapa negara terbabit mengamalkan larangan minum daripada jam 10.30 malam sehingga 7 pagi di tempat awam.

“Semua premis tidak dibenarkan untuk menjual minuman alkohol melainkan di restoran, kafe, bar ataupun di rumah sendiri. Kerajaan harus mempertimbangkan kaedah ini untuk dipraktikkan di sini,” katanya.

Beliau berpendapat bagi memberi pengajaran, selain mempertingkatkan larangan memandu dalam keadaan mabuk, langkah mempraktikkan hukuman penjara sekurang-kurangnya tujuh hari kepada pemandu mabuk kali pertama (yang kurang berbahaya) mungkin sesuai dilaksanakan sebagai iktibar kepada pesalah dalam usaha mengekang peningkatan kes pemandu mabuk hingga menyebabkan kemalangan.

Selasa lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin memaklumkan, pihaknya menimbang cadangan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membekukan lesen baharu penjualan arak berikutan sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan jalan raya berlaku membabitkan pemandu mabuk.

Katanya, keputusan untuk membekukan lesen perlu dibuat secara teliti kerana ia melibatkan jangka masa panjang dan tidak boleh dilakukan secara ad hoc.