Berita Gerakan

Kaum India buktikan kesetiaan melalui pembangunan negara

Jan 15, 2024

PETALING JAYA: Kesetiaan masyarakat India di Malaysia tidak wajar dipersoal oleh kerana ia telah dibuktikan menerusi pelbagai aspek dalam membangunkan negara maju dan harmoni sejak 66 tahun yang lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh berkata, masyarakat India di Malaysia telah membuktikan kesetiaan mereka melalui pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam.

Katanya, sebagaimana etnik-etnik lain, bangsa itu juga adalah penyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Malaysia.

“Buat masa kini, elakkan perkara yang boleh mencetuskan ketidakharmonian di antara setiap etnik kerana negara sedang menghadapi krisis ekonomi.

“Jadi kita sebagai masyarakat berbilang kaum perlu bersatu demi memperkukuhkan persefahaman dan keharmonian di kalangan setiap komuniti untuk membentuk sebuah negara yang maju dan adil,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara kerana masih terikat dengan negara asal mereka ketika sesi temubual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan di Facebook berkata, semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin politik perlu mengelak mengeluarkan sebarang kenyataan menyentuh sensitiviti agama dan kaum sehingga menimbulkan kebencian.

“Dalam menyatupadukan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya, pemimpin terdahulu telah mendukung wadah integrasi nasional berbanding asimilasi.

“Kini sudah pun lebih 60 tahun merdeka, rakyat masih mengekalkan nilai perpaduan dalam kepelbagaian sebagai resam hidup,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, seseorang itu tidak seharusnya dikenali sebagai Melayu untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.

“Kita mesti faham, mereka yang lahir selepas kemerdekaan diterima sebagai warganegara Malaysia, tidak kira apa bangsa ataupun keturunannya.

“Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengiktirafnya sedemikian. Semua rakyat Malaysia mempunyai hak yang sama rata secara umumnya dan dijamin oleh perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya.

Jelasnya, tindakan untuk mempersoalkan sikap taat setia mana-mana kaum yang bukan Melayu terhadap negara ini adalah tidak sesuai kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum dan menjejaskan kestabilan negara.

“Kaum India turut menyumbang kepada negara ini sejak merdeka menerusi MIC khasnya membantu mengukuhkan kerajaan BN. Cuma sejak akhir-akhir ini pergolakan politik negara telah menyaksikan kaum India seperti dipinggirkan,” katanya.

Selain itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, mendakwa kaum India tidak setia kepada negara adalah satu dakwaan yang dangkal.

Jelas Salawati, kesetiaan adalah satu perkara yang subjektif untuk bekas Perdana Menteri tersebut menyatakan perkara itu tanpa sebarang alasan yang kukuh. – UTUSAN

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi