Berita Gerakan

Kekejaman Zionis perlu tindakan tegas-Gerakan

Mei 18, 2021

KUALA LUMPUR- Masyarakat negara ini harus sedar bahawa kekejaman zionis Israel terhadap Palestin bukan hanya isu kemanusiaan semata-mata, malahan isu tersebut harus diambil tindakan tegas.

Setiausaha Agung Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong berkata, tindakan Israel adalah tindakan yang amat tidak berperikemanusiaan.

“Apa yang saya tahu, kediaman mereka dibom. Ramai rakyat Palestin yang telah kehilangan nyawa dan cedera. Wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali.

“Kita mahu Zionis Israel bertanggungjawab atas kematian para syuhada, kemusnahan bangunan, dan kecederaan rakyat Palestin yang tidak berdosa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kah Keong berkata, semua pihak sepatutnya berusaha mencari solusi yang lebih tegas dan konkrit termasuk mengenakan tekanan politik dan pemencilan antarabangsa ke atas rejim Zionis Israel ini.

Katanya, serangan di Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan dan sehingga kini rakyat Palestin di Gaza terus diserang dengan ganas dan kejam oleh rejim Zionis Israel.

“Parti Gerakan menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia dan semua negara untuk mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Zionis Israel dan mengambil tindakan politik yang lebih keras.

“Kita juga melihat rakyat Malaysia bersatu hati menentang keganasan Zionis Israel walaupun melalui media sosial. Kesedaran ini amat bagus dan perlu dicontohi,” katanya.

Sementara itu, Parti Gerakan mendukung tindakan kerajaan Palestin yang penuh nasionalisme komited berjuang bagi mempertahankan tanah air mereka.

“Isu Palestin harus dipandang serius. Tanah Palestin merupakan milik rakyat Palestin secara sejarah dan undang-undang. Kehadiran militan Israel mengaku Palestin milik mereka pada tahun 1948 dan kemudiannya secara strategik menghalau penduduk asal adalah satu tindakan ‘Settler Colonialism’ yang terkutuk.

“Isu ini juga bukanlah semata-mata isu kemanusiaan tetapi ia juga mengenai soal penjarahan asing yang merampas tanah milik penduduk asal. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih tidak bersuara walaupun serangan Zionis Israel jelas telah mencabuli hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.-BebasNews