Berita Gerakan

Kem Azmin belum mohon sertai Gerakan

Mei 22, 2020

PETALING JAYA – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) belum menerima permohonan daripada penyokong bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyertai parti itu.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, tiada sebarang permohonan rasmi keahlian baharu daripada penyokong Azmin yang direkodkan oleh pihaknya.

“Jika ada permohonan keahlian daripada penyokong Azmin sudah pasti Gerakan akan terima selagi mereka ialah rakyat Malaysia dan boleh menyokong ideologi parti ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan sebuah portal mengenai para penyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bukan Melayu disusun agar menyertai Gerakan tidak lama lagi.

Menurut laporan berkenaan, langkah itu dibuat bagi membolehkan ahli Parlimen dan penyokong bukan Melayu boleh meninggalkan PKR selepas penyokong Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut Dominic, Gerakan ialah parti untuk semua bangsa berbilang agama dan jika ada pihak yang mengatakan parti itu lebih cenderung memperjuangkan bangsa bukan Melayu, ia sama sekali tidak benar.

“Gerakan mahu membela nasib rakyat di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan misi parti,” katanya

Mengulas lanjut mengenai sokongan parti itu kepada Perikatan Nasional, Dominic mengesahkan Gerakan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin bererti kita menyokong kerajaan hari ini di bawah Perikatan Nasional yang dilihat mampu membela nasib rakyat khususnya menangani isu wabak koronavirus (Covid-19),” katanya.

Selain itu, Gerakan juga menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan 43 (2)(a) apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Untuk kestabilan politik, kita juga akan menyokong mana-mana sahaja parti atau gabungan parti politik yang dilihat boleh menstabilkan politik dan membela nasib rakyat,” katanya.

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi