Berita Gerakan

Kerajaan digesa segera laksanakan pemberian subsidi bersasar

Jul 20, 2022

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa kerajaan melancarkan mekanisme pemberian subsidi bersasar secepat mungkin supaya golongan yang memerlukan bantuan menerima manfaat.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, ia juga secara tidak langsung mengurangkan beban kerajaan memberi subsidi ratusan juta ringgit setiap bulan serta membanteras aktiviti penyeludupan barang kawalan.

“Sebenarnya mekanisme subsidi bersasar ini telah lama dibincang dan dibangkit kerajaan tetapi ia masih tidak dapat direalisasikan sehingga kini.

“Kita tidak nafikan banyak bebanan ditanggung kerajaan kerana pemberian subsidi membabitkan beberapa barangan termasuk petrol, diesel, minyak masak, gula  serta tepung,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang Dewan Rakyat menegaskan kerajaan ketika ini sedang mengkaji mekanisme terbaik untuk merangka subsidi bersasar bagi memastikan rakyat yang berhak menerima bantuan kerajaan tidak tercicir atau tertinggal daripada menikmati subsidi itu.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, dasar subsidi telah lama digunakan dalam negara menyebabkan pelbagai lapisan rakyat terlalu bergantung kepada kerajaan.

“Ini turut mengakibatkan kerajaan merasa bimbang akan kehilangan sokongan pengundi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang sekiranya dasar ini dimansuhkan dan sekali gus menyebabkan pemansuhan dasar ini ditangguhkan tanpa satu had masa.

“Mekanisme subsidi bersasar ini adalah langkah yang tepat untuk mengurangkan beban negara tetapi kita harap jangan sesekali memberi fokus dalam kepentingan politik masing-masing.

“Kita juga berharap kerajaan yang diterajui Ismail Sabri dapat menunjukkan kesungguhan mereka dalam melaksanakan mekanisme pemberian subsidi bersasar ini kerana kegagalannya akan merugikan kerajaan sekali gus membebankan negara kita,” ujar beliau. – MalaysiaGazette