Berita Gerakan

Kerajaan, polis digesa segera tangani peningkatan jenayah

Jun 27, 2022

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan polis digesa memberi keutamaan dalam menangani isu peningkatan kadar jenayah selepas Malaysia direkodkan berada di kedudukan ke-29 daripada 137 negara dalam Indeks Jenayah 2022.

Gesaan disuarakan Presiden GERAKAN, Senator Datuk Dr Dominic Lau berikutan Malaysia menjadi negara dengan kadar jenayah tertinggi di Asia Tenggara.

Katanya, menerusi laporan dikeluarkan World Population Review Dunia meliputi sejumlah 137 negara, menunjukkan kadar jenayah di Malaysia adalah 57.29 peratus, bermakna setiap 100,000 orang, terdapat 57.29 kes jenayah berlaku.

“Saya rasa amat bimbang. Data ini menunjukkan kes jenayah telah mengganggu ketenteraman masyarakat di Malaysia dan rakyat sudah menjadi mangsa dalam isu ini.

“Ini bukan masalah kecil dan bukannya sekadar data, pihak kerajaan dan polis perlu menganggap isu jenayah ini sebagai keutamaan bagi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kerajaan perlu mengambil tindakan segera supaya pemulihan dan pembangunan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas.

“Malaysia pernah menjadi antara negara yang paling selamat di Asia, tetapi Malaysia kini mempunyai kadar jenayah tertinggi.

“Malahan, Kemboja (51.13 peratus), Myanmar (46.51 peratus), Vietnam (46.19 peratus), Indonesia (45.93 peratus) dan Thailand (39.35 peratus) juga lebih selamat daripada negara kita. Apa masalahnya?” katanya.

Dalam pada itu, katanya isu ini bukan sahaja boleh membuatkan rakyat menderita tetapi ekonomi negara akan terjejas kerana tiada pelabur asing yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan kerugian untuk melabur di negara yang mempunyai kadar jenayah tinggi.

“Pada masa yang sama, jika isu jenayah ini tidak diselesaikan dalam masa singkat, industri pelancongan negara kita akan mengalami kerugian kerana kerisauan keselamatan oleh pelancong asing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas antara jabatan yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyelesaikan masalah ini dalam masa yang singkat dan seterusnya memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.