Berita Gerakan

Konflik Palestin-Israel bukan isu agama, perlu kerjasama termasuk bukan Islam, kata Mufti Perlis

Mei 27, 2021

PETALING JAYA: Konflik di Palestin-Israel yang sekian lama berlaku bukan disebabkan isu agama, sebaliknya isu kemanusiaan yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk bukan Islam, kata Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, hak kemanusiaan untuk hidup sebagai manusia merdeka perlu dipertahan, malah sekiranya yang dizalimi orang bukan Islam seperti mana berlaku di Palestin, orang Muslim perlu membantah.

“Malah kita tengok isu melibatkan Palestin orang bukan Islam di London turut membantah kekejaman dilakukan Israel, ini kerana isu yang berlaku bukan terhad kepada agama tetapi isu sejagat,” katanya dalam “Bual Bicara Konflik Palestin-Israel dari perspektif kemanusian dan agama” anjuran Parti Gerakan.

Kenyataan Asri turut disokong Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong menegaskan apa yang berlaku di Palestin bukan isu perkauman apabila rakyat Palestin beragama Kristian menzahirkan ketidapuasan hati terhadap Israel, malah ada rakyat Israel juga tidak setuju dengan tindakan yang diambil Zionis.

Asri berkata, cadangan penyelesaian dua negara (two-state solution) berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis dijadikan ibu negara Palestin sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik itu bukanlah satu perkara baru.

Tambah beliau, cadangan itu bukan sahaja datang dari pemimpin politik sebaliknya tokoh Islam sendiri termasuk Syeikh Abdullah Bayyah.

“Bagi saya macam-macam jalan penyelesaian boleh dicadangkan yang penting kita tidak boleh menerima ada pihak yang dizalimi yang mana harta, rumah dan tanah air mereka dirampas, yang penting penjajahan dan kezaliman tidak berlaku, tidak boleh juga satu-satu penyelesaian itu memberikan satu pihak menggunakan kuasa menentukan keputusan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menyatakan Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui penyelesaian dua negara.

Muhyiddin berkata, Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak berkaitan berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi PBB yang berkaitan.

Bagi pengulas politik, Tai Zee How berkata, idea cadangan penyelesaian dua negara Palestin-Israel turut dicadangkan ketika zaman pemerintahan Najib Razak dan Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun berdasarkan penyelidikan dibuat pihaknya kepada penduduk Palestin di Malaysia majoritinya menolak cadangan penyelesaian dua negara termasuk dari rakyat Israel sendiri.

“79% orang Palestin menolak penyelesaian dua negara, lebih 80% orang Yahudi menolaknya,” katanya sambil memaklumkan rata-rata membuat cadangan penyelesaian dua negara dengan matlamat dan asas kukuh tidak mahu melihat kezaliman berlaku di Palestin dan ramai rakyat terseksa.

Mengulas kesungguhan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menyelesaikan konflik di Palestin, Asri berkata secara umum usaha negara Islam mempertahankan hak Palestin ada cuma ia menjadi lemah disebabkan krisis kepimpinan dalam kalangan negara Islam termasuk ada yang dikuasai Amerika Syarikat.

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

黄佳祯拨齐灵坛斗母宫3000

(双溪大年7日讯)由双溪大年齐灵坛斗母宫九皇大帝承办的“2024年第九届吉中九皇大帝巡境大游行”,15支来自各九皇大帝斗母宫及商家队伍参与,华丽的花车及庞大游行队吸引数以干计民众驻足围观,炮竹烟花伴随舞龙表演,庄严热闹。

baca lagi